Ibu, Bayi & Kanak Kanak

IUD Mencegah Untuk Hamil? Ketahui Fakta-Fakta Tentang IUD, Keberkesanan Dan Kesan Sampingannya

iud cegah hamil

Sumber: Adobe Stock

Bagi sesetengah pasangan suami isteri, perancangan kehamilan adalah sangat penting. Ada yang mahu luangkan masa berdua sahaja selepas berkahwin, atau pun ada juga yang perlu merancang kehamilan untuk membesarkan jarak antara dua anak.

Walaupun lebih daripada 25 peratus wanita bergantung pada pil perancang, masih ramai wanita yang tidak mahu mengambil pil atau sering lupa untuk mengambilnya, justeru meningkatkan peluang untuk hamil.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Boleh ke guna IUD untuk cegah hamil?

Ada beberapa jenis cara lain untuk merancang kehamilan. Salah satu daripadanya ialah dengan penggunaan alat intrauterin atau lebih dikenali sebagai intrautrine devices (IUD).

Bagi kebanyakan wanita, IUD berfungsi sebagai alternatif selamat selain daripada pil perancang.

Apa Itu IUD?

IUD ialah radas atau alat kecil yang diletakkan di dalam rahim anda untuk mengelakkan proses inseminasi.

Cara atau alat ini sangat popular di seluruh dunia dan merupakan salah satu bentuk kawalan kehamilan yang paling berkesan.

IUD adalah alat berbentuk T yang doktor pakar akan masukkan ke dalam rahim anda. Ia mencegah kehamilan dengan menghentikan sperma dari mencapai dan menyuburkan telur.

IUD boleh didapati dalam dua bentuk, iaitu jenis gegelung tembaga dan jenis hormon progestin yang dilepaskan.

Sumber: Adobe Stock

Bagaimanakah IUD Berfungsi?

Kedua-dua jenis IUD tembaga dan hormon berfungsi dengan menyukarkan sperma untuk mencapai telur anda.

  • IUD Jenis Tembaga

IUD jenis tembaga menyebabkan tindak balas keradangan pada lapisan rahim anda. Keradangan ini adalah beracun bagi sperma.

Justeru, implantasi dapat dielakkan jika persenyawaan berlaku. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan jika diletakkan dengan betul, persenyawaan mungkin mustahil untuk berlaku pun!

IUD jenis tembaga selalunya boleh bertahan di dalam rahim sehingga 10 tahun.

Sumber: Getty Images
  • IUD Jenis Hormon

IUD jenis hormon pula berfungsi secara penipisan lapisan rahim anda untuk mengelakkan pengangkutan sperma ke dalam saluran fallopio anda di mana persenyawaan berlaku.

Progestin yang dikeluarkan juga menebalkan lendir serviks anda dan dapat mencegah ovulasi.

Bergantung kepada jenama IUD berbentuk hormon, ia boleh bertahan di dalam rahim antara tiga hingga lima tahun.

Bagaimana IUD Dimasukkan Untuk Cegah Hamil?

IUD boleh dimasukkan pada bila-bila masa anda pasti yang anda tidak hamil.

Doktor pakar akan memasukkan IUD melalui serviks dan terus ke rahim anda. Prosedur ini biasanya memakan masa lebih kurang 15 minit, bergantung kepada individu dan doktor.

Sumber: Getty Images

Anda mungkin akan merasa sedikit kekejangan atau ketidakselesaan dan ia adalah normal.

Keberkesanan Dan Kebaikan Menggunakan IUD

Kedua-dua jenis IUD tembaga dan hormon mempunyai 99% keberkesanan untuk mencegah kehamilan. Ia adalah salah satu jenis kawalan atau perancang kehamilan paling berkesan yang boleh anda pilih.

IUD juga merupakan salah satu bentuk perancang kehamilan yang paling mudah kerana boleh bertahan antara tiga hingga 10 tahun, jadi anda tak perlu kerap berjumpa doktor atau mengambil pil setiap hari!

Sumber: Getty Images

Antara faedah-faedah memilih IUD sebagai kaedah mencegah kehamilan ialah:

  • peratus keberkesanan yang tinggi
  • tahan lama
  • mudah untuk digunakan kerana hanya memerlukan satu prosedur kemasukannya
  • tidak memerlukan apa-apa persiapan sebelum membuat hubungan intim
  • boleh digunakan semasa menyusu badan
  • senang dan cepat untuk dikeluarkan jika anda bercadang untuk hamil
  • harga berpatutan dan hanya memerlukan kos pada awal kemasukannya sahaja
  • IUD jenis hormon boleh melegakan sakit haid dan mengelakkan pendarahan berlebihan

Kesan Sampingan Dan Risiko Menggunakan IUD Untuk Mencegah Kehamilan

Seperti apa juga kaedah atau rawatan perubatan, kesan sampingan kadang kala tidak dapat dielakkan. Juga seperti kaedah perancangan kehamilan lain, IUD ada kebaikan dan keburukan yang harus anda pertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk menggunakannya.

Beberapa risiko menggunakan IUD ialah:

  • tiada perlindungan terhadap penyakit jangkitan kelamin atau sexually transmitted infections (STI)
  • kemasukan alat IUD mungkin menyakitkan bagi sesetengah wanita
  • IUD jenis tembaga mungkin boleh menyebabkan darah berlebihan ketika haid
  • IUD jenis hormon boleh membuatkan kitaran haid anda tidak seimbang atau irregular
  • berasa pening selepas alat IUD dimasukkan
  • risiko kehamilan ektopik jika persenyawaan berlaku
  • kembung, bengkak, atau sakit di bahagian bawah perut
  • meningkatkan risiko penyakit radang pelvik atau pelvic inflammatory disease (PID) yang merupakan jangkitan rahim, tiub fallopio, atau ovari

Walau bagaimanapun, kebanyakan kesan sampingan ini biasanya akan hilang dalam enam bulan pertama penggunaan.

Sumber: Getty Images

Terdapat juga risiko di mana alat IUD yang telah dimasukkan terkeluar secara tidak sengaja. Untuk beberapa bulan pertama, anda disarankan untuk kerap memeriksa jika alat tersebut masih terletak ditempat yang sepatutnya.

Anda perlu memeriksa setiap bulan dan cara-cara untuk memeriksanya ialah:

  1. Basuh tangan dengan sabun sehingga bersih
  2. Masukkan jari yang mana selesa hingga bersentuhan dengan bukaan serviks
  3. Pastikan anda boleh merasa tali alat IUD tersebut

Sekiranya tali terasa lebih pendek atau lebih panjang daripada biasa, mungkin penempatan alat tersebut  bermasalah.

Jika terdapat masalah, jangan tarik tali atau cuba memasukkan semula IUD itu sendiri. Sebaliknya, segera berjumpa dengan doktor anda. Mereka dapat memeriksa keadaan IUD tersebut.

Alat IUD juga boleh terkeluar sewaktu anda mengalami haid, terutamanya dengan pendarahan yang banyak. Pastikan anda memeriksa setiap kali anda datang haid.

Siapa Yang Tidak Digalakkan Menggunakan IUD?

Penggunaan IUD boleh meningkatkan risiko jangkitan, terutamanya bagi beberapa golongan wanita. Anda tidak patut menggunakan IUD jika:

  • anda mengalami jangkitan jangkitan kelamin atau sexually transmitted infections (STI)
  • sedang mengandung atau berkemungkinan besar sedang mengandung
  • menghidap kanser serviks yang tidak dirawat
  • menghidap kanser uterin
  • mengalami pendarahan faraj yang luar biasa
  • mempunyai pasangan hubungan intim yang berlainan
  • mempunyai alahan terhadap tembaga bagi IUD jenis tembaga
  • mempunyai penyakit hati yang teruk atau kanser payudara

Sebelum membuat keputusan untuk menggunakan IUD atau kaedah perancang kehamilan yang lain, anda harus membincangkan mengenai faedah dan risiko dengan doktor pakar sakit puan anda.

Anda juga perlu mempertimbangkan kos, kebaikan, dan kesan sampingan semasa membuat pilihan.

Sumber: Getty Images

Sekiranya anda telah mencuba kaedah IUD untuk cegah hamil dan berasa bahawa alat atau kaedah tersebut tak sesuai untuk anda, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mengeluarkan IUD tersebut.

Terdapat banyak pilihan perancang kehamilan yang sedia ada, dan doktor anda akan dapat membantu mengetahui kaedah mana yang terbaik dan sesuai untuk anda.

Semoga bermanfaat.