Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jadual Imunisasi Kebangsaan Kanak-kanak 2020 | Kepentingan Kombinasi Vaksin 6 Serangkai

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan penukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak di semua Klinik Kesihatan di Malaysia. Jadual baru ini juga selari dengan pertukaran jenis vaksin daripada kombinasi lima serangkai kepada enam serangkai.

KKM juga menggesa ibu bapa untuk memastikan anak-anak mendapat dos imunisasi utama yang telah dinyatakan mengikut jadual yang terbaharu ini bagi melindungi anak-anak daripada pelbagai ancaman penyakit.

Highlighted

Sumber: bharian.com.my

Vaksin 6 Serangkai

Ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah seperti yang dipetik dari laman Berita Harian,

Vaksin jenis enam serangkai ini lebih selamat dan berkesan berbanding sebelum ini serta lebih menjimatkan masa kerana jumlah suntikannya juga dikurangkan daripada tujuh suntikan ke lima sahaja.

Vaksin berkenaan meliputi difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib)

Untuk pengetahuan Mama, vaksin ini adalah untuk mencegah enam jenis penyakit:

  • difteria
  • tetanus (kancing gigi)
  • pertussis atau batuk kokol
  • poliomyelities
  • jangkitan Haemophilus influenzae type b
  • Hepatitis B
Jadual Imunisasi Kebangsaan Kanak-kanak yang terbaru. (Sumber: Kenyataan Akhbar KPK 17 November 2020)

Maklumat Penting Yang Ibu Bapa Harus Tahu

  1. Menurut Kenyataan Akhbar Dr Noor Hisham 17 November 2020, sebanyak empat dos vaksin akan diberikan kepada setiap bayi dan kanak-kanak, iaitu ketika mereka berumur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.
  2. Vaksin Hepatitis B yang diberikan selepas lahir akan terus diberikan.
  3. Vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan ketika bayi berumur 1 dan 6 bulan, tidak perlu diberikan lagi kerana komponen vaksin tersebut telah terkandung dalam vaksin 6 serangkai yang baharu.
  4. Vaksin 6 serangkai sebenarnya telah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2013, namun ia merupakan vaksin baharu di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di KKM.
  5. Oleh kerana vaksin ini baharu, KKM akan menjalankan pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang teliti bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan.
  6. Ibu bapa harus melaporkan sebarang kesan yang dialami anak anda selepas setiap suntikan walaupun berlaku kesan ringan seperti merah di tempat suntikan.
    • Cara melaporkan kesan advers tersebut:
      • Mengembalikan borang laporan yang akan diberikan.
      • Terus melaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di laman rasmi (npra.gov.my) dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).

Kepentingan Vaksin kepada Anak-anak

Sebenarnya, masih ramai lagi ibu bapa di Malaysia tidak mengetahui atau ambil tahu mengenai kepentingan vaksin kepada anak-anak. Lebih membimbangkan apabila masih ada ibu bapa yang percaya dan terikut dengan kata-kata anti-vaksin.

  • Vaksin membantu membina daya ketahanan badan.
  • Bayi dan kanak-kanak yang menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan.
  • Untuk mengurangkan risiko daripada dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit yang serius yang boleh menyebabkan kecacatan dan kematian.
  • Mengelak daripada berlakunya epidemik dan wabak penyakit berjangkit seperti polio, difteria, dan sebagainya.
Salah satu kesan akibat dijangkiti penyakit polio. (Sumber: story.motherhood.com.my)

Suntikan vaksin untuk anak-anak kita tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan adalah halal. Malah, vaksin yang disyorkan oleh KKM juga dijamin selamat dan berkesan.

Oleh sebab itu, Mama jangan pula ragu-ragu dengan vaksin yang akan diberikan kepada cahaya mata Mama. Ikut sahaja jadual imunisasi yang telah diatur. Sekiranya ada yang tertinggal, cepat-cepat buat janji temu yang seterusnya di klinik kesihatan yang berhampiran.

Penukaran jadual imunisasi yang baharu ini akan dilakukan secara berperingkat bermula bulan November 2020, bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin di setiap klinik kesihatan di Malaysia.