Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ketahui Punca Keganasan Rumah Tangga dan Langkah Mengatasinya

keganasan rumah tangga

Kredit gambar: istockphoto

Keganasan rumah tangga bukanlah satu isu yang baru. Malah ia sentiasa dilaporkan di seluruh dunia, yang telah mengakibatkan kesan-kesan buruk terhadap fizikal dan mental pasangan yang telah berkahwin.

Dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada bulan Januari sehingga Disember 2020, telah dilaporkan sebanyak 5260 kertas siasatan yang berhubung dengan keganasan rumah tangga telah dibuka.

9 Punca Keganasan Rumah Tangga

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Apa yang menyebabkan keganasan rumah tangga ni sebenarnya? Apakah faktor yang menyumbang kepada terjadinya isu ini?

Terutamanya buat mereka yang telah menjadi mangsa dan merasakan dirinya tidak patut dikasari sebegitu oleh pasangannya, pasti sering tertanya-tanya, apakah ia berpunca dari salahnya sendiri?

Sebenarnya kebanyakan faktor yang menyumbang kepada terjadinya keganasan rumah tangga ni adalah faktor luaran yang tidak ada kaitan dengan mangsa itu pun.

Berdasarkan perkongsian daripada Astro Awani, statistik pada tahun 2019 telah menunjukkan bahawa antara punca-punca utamanya ialah; perselisihan faham, sikap panas baran dan penagihan dadah.

1. Dibesarkan dalam suasana penderaan

Pasangan yang dibesarkan dalam suasana penderaan sama ada mereka yang didera atau menyaksikan penderaan tersebut, boleh menjadi seorang yang mendera pasangannya kelak.

2. Didikan yang salah

Selain itu, didikan ibu dan bapa dalam membesarkan anak juga memainkan peranan penting. Jika didikannya salah, personaliti dan persepsi yang buruk dari anak akan terbentuk dan mempengaruhi kehidupannya keak bersama pasangannya.

3. Perspektif yang salah/buruk terhadap wanita

Ada juga mereka yang telah dibesarkan dalam suasana yang tidak menghormati wanita, sebagai contohnya, akan merasakan wanita itu rendah darinya dan seterusnya tidak akan melayan mereka selayaknya.

Ini juga boleh terjadi untuk berlainan jantina ya.

4. Mempunyai kecelaruan personaliti dan sakit mental

Tak kurang juga, kes keganasan rumah tangga juga boleh berlaku disebabkan si pelaku yang mempunyai masalah personaliti dan sakit mental.

5. Pengambilan alkohol yang tidak terkawal

Mereka yang mengambil minuman alkohol secara tidak terkawal juga boleh membentuk sifat panas baran dan hilang pertimbangan.

Kesannya, mereka akan berkasar terhadap pasangan dan anak.

6. Penyalahgunaan dadah

Kredit gambar: istockphoto

Merupakan antara punca utama keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah juga boleh menyebabkan seseorang itu mengasari ahli keluarganya.

Seperti pengambilan alkohol yang tidak terkawal, dadah juga akan memberikan banyak kesan yang buruk dan besar terhadap diri seseorang itu.

Ia boleh mempengaruhi kognitif dan pertimbangannya.

7. Kepercayaan bahawa keganasan rumah tangga adalah normal

Ada juga mangsa kepada keganasan rumah tangga merasakan bahawa ia adalah sesuatu yang normal kerana mindanya yang telah terbentuk seperti itu. Mungkin kerana pengalamannya atau faktor yang lain.

Sama ada sebagai mangsa atau pelaku, mereka akan membiarkannya dan terus melakukannya dengan kepercayaan bahawa keganasan rumah tangga adalah normal dalam masyarakat.

8. Masalah panas baran

Ramai yang apabila ingin berkahwin tidak menginginkan pasangan yang panas baran kerana mereka yang panas baran ini sukar untuk mengawal perasaan dan emosinya.

Salah satu tindakan yang mereka boleh buat adalah berlaku kasar kepada ahli keluarga dan ini memang patut dipandang serius kerana boleh mengakibatkan kematian.

9. Perselisihan faham

Dalam sebuah rumah tangga itu, banyak perselisihan faham yang boleh berlaku. Contohnya, apabila ada masalah kewangan, masalah hubungan intim dan masalah berkaitan dengan anak, pasangan akan berkelahi dan ini boleh menjurus kepada masalah keganasan rumah tangga.

Langkah Mengatasi Keganasan Rumah Tangga

Kebanyakkan punca keganasan rumah tangga ini sebenarnya boleh dielakkan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat beberapa langkah yang Mommy dan Daddy boleh lakukan untuk mengatasinya.

Antaranya adalah:

1. Dapatkan kaunseling

Jika Mommy dan Daddy mempunyai masalah ketagihan, masalah rumah tangga ataupun masalah persendirian seperti panas baran, usahakanlah untuk dapatkan kaunseling dari mereka yang pakar.

Ketahui dan come to terms dengan permasalahan Mommy dan Daddy dan dapatkan bantuan dan pandangan dari kaunselor ya? Pujuklah pasangan sebaiknya jika masalah berpunca dari mereka dan sepanjang sesi kaunseling, berilah sokongan yang terbaik kepada mereka.

2. Jalani rawatan pemulihan

Kredit gambar: istockphoto

Untuk pasangan yang diuji dengan masalah yang lebih serius seperti masalah ketagihan dadah dan psikologi, Mommy dan Daddy seharusnya dapatkan rawatan pemulihan secepatnya.

Janganlah fikir bahawa diri sendiri atau pasangan tidak boleh sembuh tetapi usahalah sebaiknya untuk pulih dari ketagihan dan masalah psikologi ini.

Dengan rawatan yang betul, ramai yang telah pulih dan hidup bahagia bersama yang tersayang. Yang penting, jangan tunggu dan biarkan ia melarat ya?

3. Sertai kumpulan sokongan

Jika di negara barat, banyak kumpulan sokongan dan pertubuhan yang ditubuhkan untuk membantu dan mengatasi permasalahan sosial.

Sebagai contoh, ada kumpulan sokongan untuk merawat masalah panas baran dan masalah psikologi. Jika Mommy dan Daddy terlibat dengan kumpulan dan pertubuhan ini, Mommy dan Daddy akan belajar tentang cara mengatasi masalah keganasan rumah tangga dan bagaimana untuk bertindak apabila ia berlaku.

Paling kurang pun, Mommy dan Daddy boleh mengadu kepada rakan dalam kumpulan sokongan ini dan mendapatkan serba sedikit pandangan dari mereka.

Keganasan Rumah Tangga Adalah Masalah Yang Perlu Diberikan Perhatian Segera

Sama ada lelaki ataupun perempuan, masalah keganasan rumah tangga bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Berusahalah untuk mengatasinya dan jika ia berlaku, jangan dibiarkan tetapi bertindaklah sewajarnya.

Di Malaysia, selain daripada pihak polis, Mommy dan Daddy boleh dapatkan bantuan di Talian Kasih KPWKM di 15999.