Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kelebihan Membaca Al-Quran, Mukjizat Teragung Rasulullah S.A.W.

kelebihan baca al-quran

Kredit gambar: istockphoto

Al-Quran adalah mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasulullah S.A.W.. Di dalam kalamullah ini, terkandungnya rahsia dan fadhilat yang tersendiri.

Hamba Allah yang mendampingi Al-Quran dengan ikhlas pasti akan diberikan petunjuk oleh Allah dan mungkin disingkapkan apa yang tidak kebanyakkan orang tahu.

15 Kelebihan Membaca Al-Quran

Sesiapa yang selalu membaca Al-Quran, mereka akan merasai nikmat yang khusus. Nikmat yang tidak boleh diungkapkan dengan kata tetapi boleh dirasai dengan hati nurani.

Antara dalil kelebihan membaca Al-Quran adalah:

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 1

Allah S.W.T. itu amatlah pemurah dan ini boleh dilihat melalui kurniaanNya kepada hambaNya yang membaca Al-Quran.

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” – Hadith Riwayat Ad Darimi Tarmizi

Bacaan setiap satu huruf dalam Al-Quran akan diberikan pahala oleh Allah kepada hambaNya.

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 2

Telah diriwayatkan sebuah hadis daripada ‘Imran bin Husain yang berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al Quran dan mereka berdoa dengannya.” – Hadith Riwayat Tarmizi

Sebelum beliau mendengar sabda Rasulullah S.A.W. ini, beliau telah lalu di hadapan qari yang sedang membaca Al-Quran yang kemudiannya berhenti berdoa dan menyambung bacaannya kembali.

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 3

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Rasulullah S.A.W. telah menghimpunkan dua orang lelaki yang terbunuh dalam peperangan Uhud dan bersabda:

“Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad.” – Hadith Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 4

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al Quran.” – Hadith Riwayat Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 5

Dalam hadis lain, daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:

“Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim.” Kami menjawab: “Kami suka demikian itu.” Sabda Rasulullah S.A.W: “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya.” – Hadith Riwayat Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 6

Daripada Abdullah bin ‘Umru bin Al ‘As R.A., Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan.” – Hadith Riwayat Abu Daud dan Tarmizi

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 7

Berusahalah untuk mengingati ayat-ayat dan surah-surah di dalam Al-Quran. Daripada Ibnu ‘Abbas R.A., beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat Al-Quran seperti rumah yang roboh.” – Hadith Riwayat Tarmizi

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 8

Kredit gambar: istockphoto

Ketenangan yang meresapi jiwa dan hidup mereka yang membaca Al-Quran tidak dapat dibandingkan dengan yang lainnya.

Dalam sebuah hadis daripada Barra’ dan ‘Azib R.A., telah diriwayatkan:

“Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran.” – Hadith Riwayat Bukhari & Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 9

Beruntunglah mereka yang diberikan kefahaman yang benar tentang Al-Quran. Daripada Ibnu Omar R.A., Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara: Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam, lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam.” – Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 10

Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang diangkatkan martabatnya kerana Al-Quran. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran.” – Hadith Riwayat Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 11

Daripada Abu Musa Al Asy’ari R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:

“Umpama orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit.” – Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 12

Kredit gambar: istockphoto

Pahala membaca Al-Quran bukan sahaja diberikan mengikut bilangan huruf yang dibaca. Usaha dan bahkan niat sahaja pun Allah mengira kesemuanya.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A.. Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala.” – Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 13

Ada banyak hadis yang membicarakan tentang manusia yang terbaik seperti mereka yang banyak memberikan manfaat buat orang lain. Antara salah satunya selain daripada yang ini adalah berdasarkan hadis ini:

Daripada Osman bin ‘Affan R.A.:

“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.” – Hadith Riwayat Bukhari

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 14

Al-Quran yang dibaca dan diamalkan isi kandungannya akan menjadi pembela kita di hari akhirat kelak. Daripada Nawwas bin Sam’an R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah A-li ‘Imraan, kedua-dua surah ini menghujah  mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya.” – Hadith Riwayat Muslim

Dalil kelebihan membaca Al-Quran 15

Ia juga akan datang sebagai syafaat untuk mereka yang membacanya. Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya.” – Hadith Riwayat Muslim

Kelebihan Membaca Al-Quran

Begitu besar rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. kepada kita. Telah diturunkan Al-Quran yang menjadi penawar dan diberikan pula kelebihan-kelebihan yang tidak terkira daripadanya kepada kita.

Rugilah sekiranya kita tidak menyingkap walaupun selembar muka A-Quran setiap hari. InsyaAllah, mereka yang mendampingi Al-Quran akan dipimpin oleh Allah sentiasa, selagi mana mereka berkehendak kepada petunjuk dan kurniaanNya..

Sumber: Blog Redzuan-Ridz

Jom tengok kelebihan membaca Surah Ar-Rahman pula!