Ibu, Bayi & Kanak Kanak

7 Khasiat Kacip Fatimah Untuk Wanita

kacip fatimah

Sumber: Shutterstock

Herba-herba tradisional masih menjadi pilihan ramai sebagai rawatan dan makanan tambahan kerana sifat semulajadinya yang tidak merosakkan buah pinggang dalam jangka masa panjang.

Salah satu herba yang popular bagi kaum wanita ialah Kacip Fatimah, atau nama saintifiknya Labisia pumila.

Apa Itu Kacip Fatimah?

Ia adalah sejenis tanaman yang tumbuh dalam kelompok rendah dengan akar yang berbulu halus dan daun yang berbentuk bujur dan berbulu di bahagian bawah. Seluruh tanaman ini, dari akar sehingga ke daun boleh dimanfaatkan.

Highlighted

Sumber: Wikipedia

Daunnya boleh dipetik dan direbus dan kemudian dibancuh untuk dijadikan teh. Tambahan pula, daun yang sama juga boleh dijadikan salap untuk digunakan pada kulit. Akar dan batang Kacip Fatimah pula boleh diproses untuk dijadikan pil herba.

Tumbuhan ini tumbuh dengan subur jika mendapat perlindungan dari cahaya matahari, dan banyak didapati di Malaysia, Sumatera, Jawa, dan Borneo.

Terdapat banyak manfaat dan khasiat Kacip Fatimah yang diketahui untuk wanita yang mengambilnya sama ada dalam bentuk minuman atau makanan. Ia boleh diambil oleh wanita yang bujang ataupun yang sudah berkahwin.

Kalau Mommy dah lama simpan hasrat ingin mencuba Kacip Fatimah, apa kata baca artikel ini selanjutnya untuk mengetahui beberapa khasiat herba popular ini.

7 Khasiat Kacip Fatimah Untuk Wanita

1. Melegakan Angin Atau Sakit Perut

Gas dalam usus atau kembung adalah masalah angin atau sakit perut yang biasa dan kerap terjadi pada sesetengah wanita.

Kacip Fatimah mengandungi anti-latulensi yang dapat melegakan angin atau sakit perut tersebut. Untuk melegakan simptom, rebus dua atau tiga helai daun Kacip Fatimah dalam 500ml air dan minum dua kali sehari.

Sumber: Getty Images

2. Mengandungi Jumlah Estrogen Yang Tinggi

Kacip Fatimah adalah sumber semula jadi hormon estrogen dari zat phyto-estrogen yang terdapat di dalam tumbuhan tersebut.

Ini amat bermanfaat bagi kaum wanita terutamanya bila melalui kitaran haid, selepas bersalin, ataupun menopaus.

Kekurangan hormon estrogen yang dihasilkan pada waktu-waktu tersebut boleh menyebabkan kesakitan fizikal, kemurungan, dan perubahan mood.

Ia juga boleh mengakibatkan osteoporosis setelah mencapai menopaus. Mommy boleh meminum teh kacip fatimah atau mengambil suplemen berbentuk pil yang bersesuaian kuantiti.

3. Boleh Menguatkan Rambut

Teh yang diperbuat daripada Kacip Fatimah juga boleh menguatkan rambut Mommy. Ia juga dikatakan berkesan untuk mencegah kerosakan rambut di masa hadapan.

Selain meminum teh herba Kacip Fatimah, Mommy juga boleh membuat ramuan salap Kacip Fatimah yang boleh disapukan keatas kulit kepala sebelum mandi.

4. Mengurangkan Penyakit Pankreas

Orang-orang tua dan pengamal perubatan herba sering mengatakan bahawa Kacip Fatimah mampu merawat penyakit pankreas dan diabetes melitus.

Kajian juga ada menunjukkan pengambilan Kacip Fatimah dapat mengurangkan kadar penyakit pankreas kerana peningkatan enzim anti-oksidan dalam organ melalui Kacip Fatimah.

Pada masa yang sama, ia juga meningkatkan pengambilan glukosa in-vitro yang mengurangkan risiko diabetes melitus.

Walau bagaimanapun, anda masih disarankan untuk berjumpa dengan doktor bertauliah jika mempunyai masalah penyakit kronik.

5. Meningkatkan Kesihatan Dalaman Wanita Dan Rahim

Khasiat popular yang sering dikaitkan dengan Kacip Fatimah juga adalah peningkatan kesihatan dalaman wanita dengan menguatkan dan mengetatkan dinding faraj disebabkan zat phyto-estrogen yang disebutkan tadi.

Khasiat ini amat bermanfaat bagi wanita yang telah melahirkan anak dengan menjana semula tisu faraj yang telah rosak dan membantu memulihkannya.

Kacip Fatimah juga berfungsi sebagai afrodisiak dengan membantu wanita yang mempunyai libido rendah untuk meningkatkan daya tarikan seksual mereka.

Sumber: Getty Images

6. Mengurangkan Kadar Kolestrol

Kacip Fatimah dikatakan dapat mengurangkan kadar kolestrol tambahan dalam badan berserta lemak yang disimpan didalam arteri.

Ini kerana ia dapat mengurangkan trigliserida yang merupakan bahan lemak dalam tubuh dan melindungi dari penyakit jantung.

7. Meningkatkan Sistem Imun

Kacip Fatimah mempunyai antioksidan yang tinggi, dan tentu kini ramai tahu bahawa antioksidan tinggi bermaksud sistem imun yang bagus kerana antioksidan dapat membantu merangsang tindakbalas imun dalam tubuh badan, justeru melindunginya dari kebanyakan penyakit.

Selain daripada khasiat-khasiat yang disebutkan di atas tadi, banyak lagi kajian yang masih sedang dilakukan untuk memperkukuhkan penemuan yang telah dibuat dan juga untuk mencari lebih banyak manfaat Kacip Fatimah.

Salah satu daripadanya ialah kajian terhadap keupayaan Kacip Fatimah untuk melindungi sel semasa rawatan kemoterapi, atau mengurangkan kesan kemo-ketoksinan ketika pesakit barah menjalani rawatan.

Banyak kajian mendapati khasiat Kacip Fatimah bersifat anti-kanser, anti-kulat, dan anti-radang, disamping khasiatnya yang merangsang estrogen.

Hebat betul bunyi khasiat-khasiat Kacip Fatimah ini, kan? Patutlah nenek moyang kita amalkan sejak dulu lagi!

Sumber: Getty Images

Malangnya, herba yang hidup meliar di hutan ini telah dieksploitasi secara berleluasa, justeru terdedah kepada kepupusan seperti apa yang terjadi kepada satu herba popular lain, iaitu ‘Tongkat Ali’. Walaupunbagaimanapun, ia masih boleh diselamatkan dengan penanaman secara domestik berskala besar.

Mommy boleh mengambil Kacip Fatimah dalam apa-apa bentuk yang disebutkan tadi seperti merebus air atau memakan dalam bentuk kapsul. Pastikan dosnya tidak melebihi 500mg kerana takut ia boleh membawa kemudaratan pula.

Sumber: Google

Mommy yang sedang mengandung atau memberi susu badan pula tidak digalakkan untuk mengambil Kacip Fatimah memandangkan tiada lagi kajian kukuh telah dibuat tentang kesan sampingannya terhadap ibu mengandung atau menyusu badan.

Yang pasti, herba ini tentu akan tetap menjadi pilihan ramai wanita dari dulu sampai pada masa hadapan kerana khasiat yang diketahui. Mana tahu, lebih banyak khasiat akan ditemui jika semakin banyak kajian dilakukan ke atas tanaman yang dihargai warga tempatan kita.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dan selamat mencuba!