Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Makanan Sunnah Untuk Ibu Mengandung Yang Bermanfaat Semasa Hamil

makanan sunnah untuk ibu mengandung

Mama tentu sudah biasa dengar tentang makanan yang tak boleh dimakan sewaktu hamil dan makanan-makanan berkhasiat yang disyorkan. Bagaimana pula makanan sunnah untuk ibu mengandung? Kalau makanan sunnah baik untuk setiap orang, apatah lagi untuk ibu mengandung!

Dalam artikel ini Motherhood senaraikan 10 jenis makanan sunnah yang sesuai untuk ibu mengandung dari makanan yang biasa didengar seperti kurma hinggalah makanan yang kurang popular tapi amat berkhasiat.

Highlighted

Sumber: gempak.com

Senarai ini hanya merangkumi makanan yang disyorkan untuk makan menurut Islam melalui hadis dan Al-Quran. Tidak ada kewajipan untuk Mama makan mana-mana, dan terpulang pada kemampuan. Tambahan pula, waktu mengandung, ada yang mempunyai alahan terhadap beberapa jenis makanan, kan?

Jom tengok beberapa jenis makanan sunnah berikut.

10 Makanan Sunnah Untuk Ibu Mengandung Yang Disarankan

1.  Kurma

Sumber: Adobe Stock

Kurma yang juga dikenali sebagai buah tamar ialah buah-buahan syurga dan digemari ramai orang. Buah kurma ada disebutkan di dalam Al-Quran dan dalam beberapa hadis seperti ketika tiba waktunya Maryam melahirkan Nabi Isa (as), ia diceritakan dalam Al-Quran:

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.

(Surah Maryam: ayat 24‐26)

Nabi Muhammad s.a.w. juga telah menyebutkan: “Bagi wanita hamil, terutamanya ketika sedang melahirkan bayi, makanan terbaik adalah kurma kerana Allah s.w.t telah menjamin kehebatan dan kemuliaannya. Dan jika wanita memakan ratb, iaitu sejenis kurma segar sewaktu hamil, anak-anak mereka yang baru lahir akan menjadi penyabar”.

Jadi pastikan Mama sentiasa ada stok kurma dirumah! Kurma mempunyai vitamin, serat, dan antioksidan yang tinggi.

2. Madu

Sumber: Adobe Stock

Syurga kerap digambarkan dengan sungai yang mengalir dengan susu dan madu, jadi tidak hairanlah madu adalah salah satu makanan kegemaran Nabi.

Madu juga telah disebutkan dalam Al-Quran dan hadis bahawa ia penting untuk kesihatan dan mengandungi banyak khasiat penyembuhan.

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

(Surah A-Nahl: ayat 69)

3. Buah Tin

Sumber: Adobe Stock

Buah tin sangat istimewa dan tidak hairanlah ia menjadi makanan sunnah kerana terdapat surah di dalam Al-Quran yang dinamakan berdasarkan buah tin! Ayat pertama surah At-Tin menyatakan: “Aku bersumpah dengan buah ara (tin) dan zaitun” (Surah At-Tin, ayat 1).

Buah tin disarankan untuk dimakan ketika mengandung kerana mempunyai kandungan kalium, kalsium, dan zat besi yang tinggi. Oleh kerana ia tinggi dengan omega-3 juga, buah tin amat baik untuk perkembangan otak bayi dalam kandungan.

Ada juga ibu hamil yang mengatakan buah tin dapat meredakan alahan mengandung pada trimester pertama.

4. Buah Dan Minyak Zaitun

Sumber: Adobe Stock

Seperti buah kurma dan buah tin, buah zaitun adalah salah satu buah yang paling diberkati dalam Islam dan mempunyai banyak rujukan dalam Al-Quran.

Selain disebutkan dalam surah At-Tin seperti yang disebutkan sebelum ini, buah zaitun juga disebutkan dalam surah Al-An’am, ayat 141 seperti berikut:

Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.

(Surah Al-An’am: ayat 141)

Selain buah zaitun, minyak zaitun juga amat berkhasiat kerana dapat membersihkan hati dan juga hati bayi dalam kandungan.

Ia mempunyai asid lemak omega-3 yang tinggi dan dapat membantu perkembangan otak bayi semasa dalam rahim dan selepas kelahiran, serta mengandungi dos vitamin A yang baik untuk penglihatan bayi.

5. Susu

Sumber: Adobe Stock

Susu memang tidak dinafikan adalah baik untuk tubuh badan, sama ada mengandung atau tidak. Meminum susu telah disebutkan beberapa kali dalam Al-Quran seperti dalam surah Muhammad di mana susu dikatakan adalah salah satu dari tiga sungai yang terdapat di syurga.

Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.

(Surah Muhammad: ayat 15)

Susu adalah sumber yang kaya dengan kalsium untuk membantu membentuk tulang yang kuat bagi bayi yang sedang membesar.

Ia juga mengandungi vitamin D yang dapat mencegah pembentukan alergi pada anak di masa depan. Mama boleh pilih mana-mana jenis susu yang digemari seperti susu lembu atau susu kambing.

6. Buah Quince

Sumber: Adobe Stock

Buhan yang jarang-jarang didengari atau dijumpai ini sebenarnya setaraf dengan kurma dan buah tin dan banyak juga disebut dalah riwayat hadis.

Jika dimakan oleh ibu mengandung, ia dikatakan dapat membuat bayi dalam kandungan berbau lebih manis dengan warna kulit yang lebih suci seperti yang diriwayatkan oleh Imam Jaffer as-Sadiq.

Buah quince telah dikaitkan dengan kesuburan dan kehamilan dan terkenal dengan banyak khasiat. Kajian menunjukkan bahawa satu sudu besar sirap buah quince terbukti dapat mengurangkan rasa mual bagi wanita hamil dan boleh menjadi alternatif yang baik untuk ubat alahan mengandung.

7. Buah Delima

Sumber: Adobe Stock

Mama disarankan untuk makan buah delima setiap hari Jumaat sebelum sarapan pagi sepanjang kehamilan kerana dikatakan akan menjadikan anak itu soleh dan membawa cahaya nur ke hatinya.

Buah delima adalah sumber vitamin dan nutrien yang baik untuk ibu mengandung dan dapat memberikan zat besi dan tenaga semasa hamil.

Kandungan polifenol yang tinggi dalam buah delima juga dapat membantu dengan keadaan sekatan pertumbuhan yang boleh berlaku disebabkan masalah plasenta yang menyebabkan masalah dalam perkembangan otak bayi.

8. Buah Tembikai

Sumber: Adobe Stock

Buah tembikai adalah buah yang istimewa buat Nabi Muhammad s.a.w. dan baginda kerap memakan buah ini. Nabi s.a.w. juga mengesyorkan buah tembikai dimakan oleh ibu mengandung  dalam beberapa hadis kerana kebaikannya.

Tambahan pula, buah tembikai adalah salah satu buah paling berkhasiat dan merupakan makanan ringan yang bagus untuk semua wanita hamil.

Ia bukan sahaja mempunyai kandungan air yang tinggi, tetapi juga mengandungi gula semula jadi yang dapat membantu mengurangkan alahan mengandung.

9. Kacang

Sumber: Adobe Stock

Kacang seperti kacang badam dan pistachio yang menjadi makanan sunnah adalah amat bagus untuk ibu mengandung kerana mengandungi kandungan lemak bagus yang tinggi.

Kacang juga dapat membekalkan tenaga sepanjang kehamilan dan dapat menjadi makanan ringan atau snek yang mudah untuk dibawa kemana-mana.

10. Barli

Sumber: Adobe Stock

Bijian barli juga penuh dengan khasiat-khasiat yang bagus bukan sahaja untuk ibu mengandung, tetapi juga untuk sesiapa sahaja!

Barli sangat padat dengan nutrien, vitamin dan mineral, dan juga merupakan sumber antioksidan yang kaya dan mempunyai kandungan serat yang tinggi.

Ia juga mampu menurunkan risiko penyakit jantung dan diabetes. Secara keseluruhannya, barli elok untuk diambil sepanjang kehamilan.

Kesemua makanan yang disebutkan di atas amat disarankan untuk diambil oleh ibu mengandung bukan sahaja kerana ia menjadi makanan sunnah yang dikatakan mampu membuat bayi dalam kandungan menjadi anak soleh, tetapi juga penuh dengan khasiat dan nutrisi yang diperlukan oleh ibu mengandung.

Jika ada keraguan atau alahan terhadap mana-mana makanan tersebut, lebih elok jika Mama mendapatkan nasihat dari doktor pakar sakit puan.

Semoga bermanfaat.