Hampir semua orang mempunyai tahi lalat, tapi Mommy pernah tak berhenti dan berfikir sejenak tentang kenapa kita ada tahi lalat, dan apakah maksud tahi lalat tersebut jika ia memberi apa-apa makna? Tahi lalat, atau nama saintifiknya, ‘nevus’, adalah sejenis pertumbuhan pada kulit.
Sesetengah tahi lalat muncul sejak lahir lagi, manakala sebilangan lagi tumbuh semasa seseorang sedang membesar. Banyak tahi lalat yang muncul semasa dewasa sebenarnya adalah berkaitan dengan pendedahan cahaya matahari dan kesannya terhadap pengeluaran melanin.
Maksud kedudukan tahi lalat ini kerap dihubungkaitkan dengan feng shui atau astrologi kuno. Dikatakan cara masyarakat pada zaman dahulu ingin mengenali personaliti atau watak seseorang adalah dengan melihat tanda-tanda pada badannya, termasuklah tahi lalat. Dari sinilah datangnya firasat tentang rahsia tahi lalat. Sejauh mana kebenarannya dalam Islam tidak diketahui dengan jelas. Ini hanyalah sekadar untuk pengetahuan sosial Mommy.
Jom tengok beberapa maksud tahi lalat yang popular dalam feng shui dan astrologi berikut.
Maksud Tahi Lalat Pada Kawasan Khusus Tubuh Badan
1. Tahi Lalat Di Lengan Bermakna Anda Seorang Yang Bekerja Keras
Salah satu kawasan yang biasa di dapati tahi lalat ialah lengan seseorang. Menurut World of Feng Shui, tahi lalat di lengan boleh bermakna seseorang perlu bekerja keras dalam apa-apa perkerjaannya namun susah untuk mendapat pengiktirafan. Selain itu, menurut The Encyclopedia of Superstitions, tahi lalat di lengan bermaksud seseorang itu sangat berhati-hati.
2. Tahi Lalat Di Belakang Badan Mungkin Bermaksud Kurang Bernasib Baik
Tahi lalat di belakang anda boleh bererti bahawa anda kurang bernasib baik, kerap dikhianati, atau tidak mahu bekerja keras. Menurut sumber lain, ia juga boleh membawa maksud anda akan menghadapi banyak cabaran dan perlu memikul banyak beban.
3. Anda Bernasib Baik Jika Mempunyai Tahi Lalat Di Dada
Menurut tradisi Cina, tahi lalat di bahagian dada atau payudara boleh membawa maksud beberapa perkara, dan salah satunya ialah ia menunjukkan anda bercita-cita tinggi, pemurah, dan mendapat anak-anak yang baik. Berlainan pula dengan maksud jika tahi lalat berada di belakang badan, kan?
4. Maksud Tahi Lalat Pada Leher
Kita sudah ketahui maksud tahi lalat di lengan, belakang badan, dan depan badan, bagaimana pula dengan leher? Menurut World of Feng Shui, tahi lalat di leher membawa maksud anda seorang yang selalu tertekan dan juga mempunyai jangka hayat yang pendek! Tapi sebagai penganut agama Islam, perkara sebegini tidak boleh dipercayai kerana hanya diketahui oleh Allah s.w.t.
5. Tahi Lalat Di Dahi Menunjukkan Anda Bijak
Tidak hairanlah jika tahi lalat di dahi dikaitkan dengan watak yang bijak dan pandai kerana berdekatan dengan otak! Astrologi Cina mengatakan tahi lalat di dahi menunjukkan kesejahteraan. Secara khususnya, tahi lalat tepat di tengah dahi bermaksud kebijaksanaan, manakala tahi lalat di sebelah kanan dahi menandakan bahawa orang itu adalah pasangan yang hebat. Walau bagaimanapun, tahi lalat di sebelah kiri pula menunjukkan nasib buruk.
6. Kecantikan Tahi Lalat Di Bibir
Tahi lalat di bibir sering dikaitkan dengan kecantikan kerana ramai selebriti atau wanita popular mempunyai tahi lalat di bibir, sama ada besar atau kecil. Namun, menurut astrologi Cina, tahi lalat di bibir memberi maksud bahawa anda ingin mencapai banyak perkara dalam hidup dan cenderung untuk berjaya.
7. Tahi Lalat Di Pipi Menunjukkan Keberanian
Seolah-olah menunjukkan seseorang berani menunjukkan tahi lalat di tempat yang amat ketara di muka, menurut astrologi Cina, tahi lalat yang terletak di pipi seseorang bermaksud bahawa mereka adalah seseorang yang berani, ikhlas dan rajin belajar, dan juga aktif dan tidak materialistik.
8. Maksud Tahi Lalat Di Dagu
Menurut astrologi Cina, tahi lalat di dagu menunjukkan seseorang itu penyayang dan sering mengambil kisah tentang kebajikan orang lain. Selain itu, ia juga menandakan kemampuan seseorang untuk menyesuaikan diri, tekad, dan juga keras kepala. Sekiranya tahi lalat berada di sebelah kanan dagu anda, itu biasanya menunjukkan pemikiran logik dan bersifat diplomatik, manakala tahi lalat di sebelah kiri pula menunjukkan seseorang yang berterus terang dan jujur.
9. Tahi Lalat Di Tangan Membawa Beberapa Maksud
Tahi lalat di tangan dikatakan tidak dimiliki oleh ramai orang dan adalah sesuatu yang luar biasa. Menurut astrologi Cina, tahi lalat di tangan anda mungkin bermaksud bahawa anda rajin dan bertenaga. Menurut World of Feng Shui pula, tahi lalat di tangan wanita juga mungkin menunjukkan wanita tersebut mempunyai ciri-ciri yang tidak stabil dan kecenderungan untuk menjadi boros dan berbelanja berlebihan.
10. Tahi Lalat Di Garisan Rambut Bermakna Anda Suka Bercuti
Kalau Mommy jenis suka bercuti dan berjalan-jalan, cuba periksa kalau Mommy ada tahi lalat di garisan rambut di atas dahi. Tahi lalat di kawasan itu dikatakan menunjukkan seseorang suka berjalan dan mempuyai kehidupan yang senang dan mewah dari segi kewangan dan percintaan. Ia juga menunjukkan seseorang akan berkahwin awal dan mendapat banyak duit secara serta-merta. Bertuah betul!
Mommy boleh nampak kan corak maksud kedudukan tahi lalat ini kebanyakannya jika di bahagian belakang atau kiri sesuatu kawasan badan memberi maksud yang kurang baik, manakala bahagian kanan atau bahagian ‘atas’ mempunyai maksud yang positif.
Walaupun pada hakikatnya takdir seseorang bergantung kepada ketentuan Tuhan dan personaliti dan watak seseorang selalunya dibentuk dari faktor persekitarannya, maksud tahi lalat ini sering menjadi topik perbualan yang menarik apabila sedang bersosial dengan kawan-kawan.
Tahi lalat boleh menaikkan seri seseorang atau ada juga yang boleh memudaratkan, jadi pastikan jenis tahi lalat Mommy adalah tahi lalat yang biasa dan jika nampak pelik perlu segera berjumpa dengan doktor pakar kulit untuk memastikan ia tidak merbahayakan.