Ketika hamil, para ibu terdedah kepada pelbagai risiko dan komplikasi. Sebagai contoh, pendarahan ketika hamil. Terutamanya pada awal kehamilan, peratusan terjadinya pendarahan ketika hamil ini adalah lebih tinggi berbanding dengan trimester kedua dan ketiga.
Adakah Pendarahan Ketika Hamil Normal?
Pendarahan ketika hamil dikenali juga sebagai spotting atau light bleeding. Memang ia agak membimbangkan terutamanya jika terjadi pada awal kehamilan. Namun, para ibu usahlah risau kerana dalam kalangan ibu mengandung, hanya sekitar 20 peratus yang mungkin akan mengalaminya.
Secara umum, ia tidak membahayakan nyawa ibu dan bayi. Namun, anda harus juga waspada kerana pendarahan ketika hamil boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lain.
Apakah Punca Terjadinya Pendarahan Ketika Hamil?
Apabila berlakunya pendarahan, para ibu akan cenderung untuk berfikir negatif seperti kandungan yang dikandung akan mengalami keguguran dan sebagainya.
Pendarahan sebegini sebenarnya boleh disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan yang lain selain dari keguguran.
#1. Kehamilan Ektopik/Kehamilan di Luar Rahim
Kehamilan di luar rahim adalah kehamilan yang terjadi apabila telur yang sudah disenyawakan membesar di luar rahim seperti di saluran fallopian. Kehamilan seperti ini adalah tidak normal dan boleh membahayakan nyawa.
Bayangkan apa yang akan terjadi apabila kandungan semakin membesar? Saluran fallopian mungkin akan pecah. Sepanjang tempoh itu, pendarahan mungkin akan berlaku dan ini boleh mengelakkan komplikasi yang lebih besar apabila anda menyedari bahawa kehamilan anda sebenarnya adalah kehamilan ektopik.
Menurut Dian Sonnerstedt, terutamanya apabila pendarahan itu disertai dengan rasa sakit atau kejang pada bahagian abdomen, segeralah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.
#2. Kehamilan Anggur/Molar
Anda menyangkakan bahawa selama ini kandungan anda normal tetapi sebenarnya, berlaku pertumbuhan tisu yang tidak normal di dalam rahim anda.
Ini boleh menyebabkan pendarahan dan selepas pemeriksaan, anda mungkin akan dapati bahawa tiada janin pun di dalam kandungan anda tetapi ketumbuhan tisu yang berupa gugusan anggur.
#3. Ketumbuhan pada Pangkal Rahim
Menurut Dr. Zubaidi Ahmad, pendarahan ketika hamil juga boleh disebabkan kerana ketumbuhan pada pangkal rahim si ibu.
#4. Hubungan Kelamin
Apabila anda mengandung, dinding serviks anda akan menjadi lebih lembut dan menebal disebabkan perubahan hormon. Seperti yang dinyatakan Dr. Azie, hubungan seksual yang aktif ketika hamil boleh menyebabkan pendarahan pada dinding serviks.
#5. Pendarahan Implantasi
Apabila berlakunya persenyawaan telur dan sperma, ia akan bergerak menuju ke dinding rahim dan menempel padanya. Proses implantasi ini boleh menyebabkan berlakunya pendarahan ringan dalam tempoh yang singkat iaitu sehari dua sahaja.
#6. Jangkitan
Selain dari itu, pendarahan ketika hamil juga boleh disebabkan oleh faktor luaran selain dari kandungan itu sendiri seperti terjadinya jangkitan serviks, jangkitan vagina atau jangkitan kuman dari penyakit kelamin.
Sebagai contoh, menurut Dr. Azie, kuman Chlamydia boleh menyebabkan pendarahan ketika hamil.
#7. Placenta Previa
Kedudukan uri yang berada pada bahagian bawah rahim dan menutupi sebahagian dari lubang pangkal rahim juga boleh mengakibatkan pendarahan ketika hamil.
#8. Placenta Abruptio
Di samping itu, terpisahnya uri dari dinding rahim boleh menyebabkan pendarahan ketika hamil. Seperti placenta previa, ia kebiasaannya terjadi dalam trimester kedua dan ketiga kehamilan.
Placenta abruptio biasanya disertai dengan sakit perut.
#9. Keguguran
Seperti yang selalu menjadi tanggapan masyarakat, pendarahan ketika hamil boleh menjadi tanda bahawa anda sedang mengalami keguguran atau ancaman keguguran.
Kebiasaannya, ia disertai dengan rasa sakit atau kekejangan di bahagian abdomen. Segeralah rujuk pada pakar kesihatan anda. Dalam sesetengah situasi, pendarahan boleh dihentikan dan kandungan anda mampu diselamatkan.
#10. Rahim Pecah
Jika anda pernah melahirkan anak secara pembedahan, pendarahan boleh juga terjadi kerana berlakunya uterine rupture.
#11. Melahirkan Anak
Apabila berlakunya pendarahan di penghujung kehamilan, ini boleh menjadi petanda bahawa anda hendak bersalin. Menurut Dr. Zubaidi, ia kebiasaannya disertai dengan keluarnya mucus yang pekat dan rasa sakit di bahagian perut.
Bilakah Anda Perlu Risau Apabila Berlakunya Pendarahan Ketika Hamil?
Pendarahan ketika hamil adalah normal tetapi ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lain yang sesetengah darinya boleh membahayakan nyawa. Bagaimanakah anda boleh menentukan sama ada pendarahan yang sedang anda hadapi memerlukan rujukan dan pemeriksaan dari pakar ataupun tidak?
Menurut Dian Sonnerstedt, tahap keseriusan pendarahan ketika hamil boleh dilihat dari beberapa faktor. Antaranya adalah:
#1. Kuantiti darah
- Jika darah yang keluar adalah dalam kuantiti yang banyak, bukannya tompokan darah sedikit sahaja, anda haruslah berwaspada.
#2. Warna darah
- Kebiasaannya, warna darah yang tidak merbahaya adalah coklat dan merah jambu. Sekiranya warna darah yang keluar adalah merah terang, ini boleh menjadi petanda kepada komplikasi lain.
#3. Sakit perut/kekejangan otot
- Selain itu, menurut Dr. Zubaidi Ahmad, jika pendarahan disertai dengan rasa sakit di perut dan kekejangan otot terutamanya di bahagian perut, anda mungkin mengalami masalah kesihatan yang lebih serius.
- Perhatikan juga pada kekerapan rasa sakit ini. Jika ia berulang-ulang, segeralah berjumpa dengan doktor.
Para ibu hendaklah peka dengan faktor-faktor ini apabila berlakunya pendarahan ketika hamil. Walaupun pendarahan atau rasa sakit itu telah berhenti, sebaiknya dapatkanlah nasihat dan lakukanlah pemeriksaan teliti dengan pakar kesihatan anda.
Jika ada sebarang komplikasi, pemeriksaan dan rawatan awal mungkin boleh menyelamatkan kandungan dan nyawa anda dan bayi.
Apakah Bayi Anda Selamat Apabila Berlakunya Pendarahan Ketika Hamil?
Secara umum, pendarahan ketika hamil tidaklah membahayakan nyawa bayi yang dikandung. Namun, dalam sesetengah kondisi seperti rahim pecah, pendarahan yang terjadi boleh mengancam kandungan anda.
Terutamanya golongan yang berisiko seperti yang pernah melahirkan anak secara caesarean, anda hendaklah peka dengan tahap kesihatan anda ketika hamil.
Pendarahan ketika hamil adalah normal dan boleh juga berpunca dari pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Segeralah berjumpa dengan doktor sekiranya ia berlaku terutamanya jika disertai dengan rasa sakit di bahagian perut.
Ini boleh mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih serius yang mungkin akan membahayakan nyawa anda dan bayi.