Kehidupan pada zaman moden penuh dengan cabaran yang boleh memberi gangguan fizikal dan mental. Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi dan psikologi anda. Disebabkan tekanan dari kos sara hidup, pekerjaan, sosial, dan macam-macam lagi, seseorang individu boleh mengalami penyakit psikiatri.
Apa Itu Penyakit Psikiatri?
Penyakit psikiatri atau gangguan psikiatri adalah istilah am yang merangkumi pelbagai keadaan yang mempengaruhi cara anda berasa dan berfikir. Ia selalunya didiagnosis oleh pakar kesihatan mental atau dikenali sebagai psychiatrist.
Penyakit psikiatri adalah sangat serius yang menganggu pemikiran seseorang, emosi atau mood, serta tingkah laku. Ia juga boleh mempengaruhi kemampuan seseorang menjalani kehidupan seharian.
Jika tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kematian, penyakit lain, mengurangkan daya kebolehan, atau menghilangkan kebebasan seseorang.
Terdapat beberapa penyakit psikiatri yang telah dikenalpasti yang sedang berleluasa di zaman ini. Ada kemungkinan anda kenal sesiapa yang berdekatan yang mungkin sedang melalui penyakit ini ataupun telah didiagnos. Contoh-contoh penyakit atau gangguan psikiatri tersebut adalah seperti:
- kemurungan (depression)
- gangguan kegelisahan atau keresagan (anxiety)
- gangguan keperibadian (personality disorder)
- skizofrenia (halusinasi)
- gangguan pemakanan (eating disorder)
- ketagihan (addiction)
- gangguan tekanan selepas trauma (post-traumatic stress disorder atau PTSD)
Penyakit psikiatri boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor yang berbeza, termasuklah genetik, faktor persekitaran, dan tabiat harian.
Apakah Tanda-tanda Penyakit Psikiatri?
Setiap jenis penyakit psikiatri mempunyai simptomnya tersendiri. Walaubagaimanapun, kebanyakannya mempunyai beberapa ciri-ciri atau tanda-tanda umum.
Tanda-tanda umum beberapa penyakit psikiatri mungkin termasuk:
- tidak cukup makan atau makan berlebihan
- tidak berupaya untuk menumpukan perhatian
- mengalami insomnia dan tidak dapat tidur atau pun terlalu banyak tidur
- sering menjauhkan diri dari orang lain
- tidak dapat memahami keadaan atau orang lain
- kurang melakukan aktiviti yang selalu digemari
- selalu berasa letih walaupun mendapat tidur yang mencukupi
- tidak mempunyai perasaan atau empati
- mengalami sakit badan atau sakit yang tidak dapat dijelaskan
- berasa putus asa, tidak berdaya atau tiada arah tuju
- merokok, minum alkohol, atau menggunakan ubat terlarang lebih daripada sebelumnya
- berasa keliru, mudah lupa, mudah marah, atau mudah sedih
- sering berasa sedih atau takut
- selalu bertengkar dengan ahli keluarga, rakan rapat, atau rakan sekerja
- mengalami perubahan mood yang melampau
- perubahan aktiviti seks atau dorongan seks
- selalu mengilas kembali pengalaman lama yang tak boleh dilupakan
- mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain
- tidak dapat menjalankan aktiviti dan tugas seharian secara normal
Gangguan psikiatri juga boleh menyebabkan gejala fizikal, seperti sakit kepala, sakit belakang, atau sakit perut.
Tekanan hidup dan tekanan emosi juga boleh menyebabkan seseorang menunjukkan simptom yang disebutkan di atas. Itu mungkin menyukarkan seseorang untuk menjaga tingkah laku dan aktiviti yang normal. Ini kadang-kadang disebut gangguan saraf atau nervous breakdown.
Ia mungkin tidak bermakna seseorang itu sedang mengalami penyakit psikiatri, cuma ada tanda-tandanya sahaja.
Punca-punca Penyakit Psikiatri
Punca atau penyebab sebenar kebanyakan penyakit psikiatri adalah tidak diketahui, namun melalui banyak kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan, jelas bahawa banyak keadaan atau penyakit ini disebabkan oleh gabungan beberapa faktor biologi, psikologi, dan persekitaran.
Keadaan yang berbeza akan memberikan kesan yang berbeza-beza bagi setiap individu.
Sebagai contoh, faktor-faktor berikut berpotensi untuk mengakibatkan masalah kesihatan mental atau penyakit psikiatri:
- mengalami atau melalui penderaan semasa kecil (kanak-kanak), trauma, atau diabaikan
- pengasingan sosial atau diasingkan daripada orang awam
- tidak mempunyai kawan
- mengalami diskriminasi seperti diskriminasi kaum, jantina, atau rupa bentuk
- melalui kemiskinan atau berhutang
- kehilangan seseorang yang dekat
- tekanan jangka panjang
- mempunyai keadaan kesihatan fizikal yang kurang baik
- kehilangan pekerjaan atau menganggur
- kehilangan tempat tinggal atau keadaan perumahan yang teruk
- penyalahgunaan dadah dan alkohol
- keganasan rumah tangga (domestic abuse)
- dibuli di rumah, sekolah, atau tempat kerja, atau penderaan lain ketika dewasa
- menjadi mangsa jenayah ganas
- punca fizikal seperti kecederaan kepada atau keadaan neurologi seperti epilepsi yang boleh memberi kesan kepada tingkah laku dan mood
- faktor biologi seperti ketidakseimbangan kimia di otak
- kecederaan otak traumatik
- pendedahan seseorang ibu terhadap virus atau bahan kimia toksik semasa hamil
- mengalami keadaan penyakit yang serius seperti kanser
Ini hanyalah beberapa faktor yang mungkin menjadi penyebab penyakit psikiatri. Doktor pakar psikiatri selalunya akan membuat ujian yang lebih mendalami jika seseorang mengesyaki dia mempunyai penyakit tersebut.
Walaupun faktor gaya hidup seperti kerja, diet, ubat-ubatan, dan kurang tidur semuanya boleh mempengaruhi kesihatan mental anda, jika anda mengalami masalah kesihatan mental biasanya terdapat faktor-faktor lain juga.
Terdapat banyak strategi yang dapat membantu anda menjaga kesihatan mental yang baik. Ini termasuk:
- mempunyai sikap dan pandangan positif dalam kehidupan
- kekal aktif secara fizikal
- banyak membantu orang lain
- dapatkan tidur yang cukup
- makan makanan yang sihat
- luangkan masa dengan keluarga dan rakan yang positif
- dapatkan pertolongan profesional sekiranya anda memerlukannya
Di Manakah Untuk Mendapat Rawatan Psikiatri?
Bagi kebanyakan individu, masalah kesihatan mental mungkin akan timbul dari semasa ke semasa, seperti kemurungan akibat kehilangan pekerjaan atau kematian seseorang yang rapat. Kebimbangan ini biasanya terhad pada masa, dan lama-kelamaan, individu tersebut akan mula berasa lebih baik.
Ini bukan kesnya untuk gangguan atau penyakit psikiatri, di mana gejala anda berterusan dan sering mengganggu anda dan orang di sekitar anda.
Tambahan pula, penyakit psikiatri tidak hanya berlaku kepada orang dewasa sahaja, tetapi remaja dan kanak-kanak kecil juga boleh terjejas kepada penyakit tersebut.
Jika anda mengesyaki anda atau anak anda sedang mengalami penyakit psikiatri dan ia tidak dapat diatasi sendiri, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dari doktor pakar psikiatri.
Rawatan yang sesuai bergantung kepada jenis gangguan psikiatri yang anda alami dan betapa serius keadaan tersebut. Doktor pakar psikiatri akan membuat rancangan rawatan yang biasanya melibatkan beberapa jenis terapi dan mungkin juga pengambilan ubat-ubatan.
Sebilangan orang juga memerlukan sokongan sosial dan pendidikan untuk menguruskan keadaan gangguan mental mereka.
Anda boleh membuat ujian psikiatri dan mendapatkan rawatan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta atau kerajaan.
Difahamkan klinik kesihatan juga mempunyai pakar perubatan keluarga yang berkemampuan untuk merawat penyakit psikiatri biasa yang tidak terlalu serius.
Untuk mendapatkan rawatan di hospital, anda selalunya memerlukan surat rujukan dari mana-mana doktor sama ada di klinik kerajaan atau klinik swasta.
Kelebihan mendapaktkan rawatan di klinik dan hospital swasta ialah masa menunggu lebih cepat dan mungkin tidak ramai orang, dan ini merupakan kelebihan yang penting bagi individu yang senang mendapat kegelisahan dari keramaian orang.
Pastikan anda mendapatkan rawatan dengan segera kerana kesihatan mental tidak patut diabaikan dan perlu mendapat rawatan yang sewajarnya.
Semoga bermanfaat.