Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan untuk mencegah atau menjarakkan kehamilan. Antaranya adalah dengan pengambilan pil perancang secara teratur.
Namun sebelum anda memilih kaedah yang sesuai, dapatkanlah maklumat yang mencukupi terlebih dahulu ya. Jom kita cuba fahami secara terperinci tentang pil ini.
Apakah Pil Perancang?
Pil ini merupakan sejenis pil yang diformulasikan khas untuk wanita, yang bertujuan untuk mencegah dan menjarakkan kehamilan.
Secara umumnya, dalam pil ini terkandung gabungan hormon yang dipercayai dapat mengawal kitaran haid wanita iaitu hormon estrogen dan hormon progestin.
Bagaimanakah Pil Perancang Bertindak?
Terdapat beberapa tindak balas daripada pengambilan pil perancang:
- Ovari anda akan menghentikan pengeluaran telur ovum.
- Mukus dalam pangkal rahim anda akan bertambah pekat dan ini akan menyukarkan sperma untuk masuk ke dalam rahim.
- Menipiskan dinding rahim anda.
Apakah Jenis Pil Perancang Yang Terdapat Di Pasaran?
Disebabkan sistem badan wanita yang berbeza, terdapat beberapa jenis pil untuk wanita-wanita di luar sana. Antaranya adalah:
#1. Pil progestrone
Pil jenis ini mengandungi hanya satu jenis hormon sahaja iaitu hormon progestrone. Ia bertindak dengan memekatkan mukus di pangkal rahim dan menipiskan dinding rahim wanita.
Jika anda sedang menyusukan anak, pil ini adalah pilihan yang ideal untuk anda. Contoh pil jenis ini yang boleh didapati di pasaran ialah Noriday dan Cerazette.
#2. Pil kombinasi
Pil jenis kombinasi pula merupakan pil yang menggabungkan dua jenis hormon iaitu hormon estrogen dan hormon progestin. Dengan pengambilan pil ini, proses ovulasi akan terhalang dan mukus di pangkal rahim akan bertambah pekat.
Contoh pil perancang kombinasi adalah Marvelon, Yasmin dan Mercilon.
#3. Pil perancang kecemasan
Pil ini juga tergolong dalam pil progestrone tetapi disebabkan cara pengambilannya yang berbeza, ia lebih dikenali dan dikategorikan sebagai pil perancang kecemasan.
Jika terjadinya hubungan seks yang tidak dirancang, anda bolehlah mengambil pil ini untuk mencegah kehamilan. Pil ini diambil selepas 72 jam terjadinya hubungan seks.
Contoh pil jenis ini yang anda boleh dapatkan di pasaran ialah Postinor-2.
Apakah Faedah Pil Perancang?
Faedah utama yang diketahui umum adalah untuk mencegah kehamilan. Namun selain dari itu, terdapat banyak faedah lain yang para suami dan isteri boleh manfaatkan daripada pengambilannya.
Antaranya adalah:
- Mengurangkan pendarahan haid yang banyak.
- Membetulkan kitaran haid.
- Mengurangkan sakit senggugut.
- Mengurangkan risiko kanser ovari dan rahim.
- Menyihatkan rambut, tulang dan gigi.
- Menurunkan risiko untuk mendapat penyakit buah dada benign.
- Mengurangkan risiko kanser kolorektum.
- Memulihkan masalah jerawat.
Kesan Sampingan Yang Anda Harus Tahu
Ramai wanita yang masih teragak-agak untuk mengambil pil ini sebagai usaha untuk mencegah kehamilan kerana bimbang dengan kesan sampingannya.
Pelbagai andaian telah menjadi pegangan seperti ia akan menyebabkan kenaikan berat badan, memberi kesan terhadap kesuburan di masa hadapan dan meningkatkan risiko penyakit kanser rahim.
Memang tidak dinafikan bahawa pengambilan pil perancang boleh menyebabkan pelbagai tindak balas kepada tubuh badan anda. Namun kesan ini kebiasannya hanyalah sementara dan tidak serius.
Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana pil ini mengandungi hormon. Kesan hormon-hormon ini pada tubuh badan kita adalah berbeza ya.
Tetapi dengan pengambilan yang betul dan pemilihan jenis pil yang sesuai dengan anda, kesan-kesan sampingan ini dapat dielakkan.
Antara kesan sampingan umum daripada pengambilan pil perancang yang biasa dialami wanita ialah:
- Rasa mual
- Sakit kepala
- Payudara tegang
Manakala antara kesan yang kurang umum pula ialah:
- Masalah jerawat
- Gangguan pada kitaran haid
- Perubahan/kecelaruan emosi
- Perubahan berat badan
- Perubahan nafsu seksual
- Kemurungan
- Pening
Tetapi hanya dalam kes terpencil sahaja, kesan sampingan serius boleh berlaku seperti darah beku dalam vena dan arteri.
Oleh kerana sistem badan setiap wanita itu unik, kesesuaian pil perancang bagi mereka adalah berbeza-beza. Jadi amatlah penting untuk anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Pakar kesihatan akan mencadangkan pil perancang yang bersesuaian dengan anda dan jika tidak, mungkin anda harus menggunakan kaedah lain untuk merancang.
Namun sekiranya berlaku mana-mana kesan sampingan selepas anda mengamalkannya, seeloknya rujuklah pakar kesihatan untuk sebarang penjelasan dan panduan ya. Mungkin anda lebih sesuai dengan pil perancang jenis yang lain.
Walaupun begitu, janganlah terlalu gusar kerana kebanyakkan kesan sampingan daripada pengambilan pil ini hanyalah untuk beberapa bulan pertama sahaja ya.
Terdapat banyak andaian tentang kesan sampingan pil perancang yang tidak terbukti secara klinikal seperti ia boleh menyebabkan kesukaran untuk mengandung di masa hadapan.
Menurut bayer.com, pengambilan pil perancang tidak akan mempengaruhi kesuburan wanita di masa hadapan. Walaupun selepas anda berhenti mengamalkannya, anda tetap berpeluang untuk mengandung semula.
Jenis dan tempoh pengambilannya; faktor-faktor ini tidak akan mempengaruhi peluang anda.
Cara Pengambilan Pil Perancang
Pil ini hendaklah diambil dengan kaedah yang betul dan secara teratur. Kebiasaannya, ia diambil dalam kuantiti sebiji sehari pada masa yang tertentu. Untuk hari-hari seterusnya, kekalkan waktu pengambilan yang sama.
Jika anda terlupa untuk memakannya, kesan pil ini mungkin tidak begitu efektif. Jadi apabila anda memilih kaedah ini, anda hendaklah berdisplin ya.
Namun terdapat juga jenis pil perancang yang harus diambil secara teratur selama beberapa hari dan diselangi dengan rehat selama beberapa hari.
Cara pengambilannya juga bergantung kepada jenis pil tersebut. Oleh itu, pasti anda mendapat nasihat doktor terlebih dahulu dari segi pemilihan jenis, dan juga memahami kaedah untuk mengamalkannya.
Pengambilan contraceptives untuk mencegah kehamilan adalah satu kaedah yang terbukti keberkesanannya. Dengan pemilihan dan kaedah pengambilan yang betul, anda dapat merancang kehamilan secara sihat dan selamat.