Bayi yang baru lahir memerlukan perhatian ibu bapa sepanjang masa, tak kiralah jika mereka sedang berjaga atau tidur.
Jadi tidak hairanlah kalau Ibu berasa bingung kenapa bayi anda tak berhenti menangis, walaupun sudah pelbagai cara anda lakukan.
Itulah isu yang selalu dikaitkan dengan bayi kembung perut dan juga kolik. Masalah ini adalah normal dan kerap berlaku pada bayi yang berumur kurang daripada enam bulan.
Apa Maksud Istilah Kembung Perut Dan Kolik?
Ramai ibu bapa yang keliru dengan istilah kolik dan menyamakannya dengan kembung perut.
Sebenarnya kolik ialah keadaan di mana bayi menangis tanpa sebab dan berpanjangan sehingga berjam-jam.
Kembung perut pula adalah salah satu punca bayi mengalami keadaan kolik.
Kolik juga boleh datang dari punca-punca lain, dan disebabkan keadaan itu adalah rawak dan tiada punca jelas, ia adalah sesuatu yang sebenarnya tidak boleh dirawat.
Pakar pediatrik selalunya mendefinasikan kolik sebagai keadaan dimana bayi selalunya menangis dengan kuat selama tiga jam atau lebih, sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu, selama lebih dari tiga minggu berturut-turut, tanpa apa-apa sebab yang jelas.
Punca-punca yang selalu dikaitkan dengan kolik adalah kembung perut, perkembangan sistem pencernaan, hormon, perkembangan sistem saraf, atau juga sakit kepala.
Kembung perut ialah keadaan di mana bayi mempunyai terlalu banyak gas dalam perut. Ini selalunya menjadi punca utama kolik, sebab itulah ia selalu disamakan dengan kolik.
Bagi bayi kembung perut, terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh dicuba dan ia juga boleh dielakkan jika dapat dikenalpasti.
Punca-Punca Bayi Kembung Perut
Bayi boleh mendapat masalah perut kembung melalui beberapa perkara seperti:
1. Perkembangan sistem pencernaan bayi. Bayi yang baru lahir akan melalui pelbagai perkembangan fisiologi.
Perubahan pada sistem pencernaan dan usus mungkin boleh mengakitbatkan ketidakselesaan di dalam perut, justeru membuatkan perut bayi kembung.
2. Teknik penyusuan yang salah. Sama ada bayi Mama minum susu badan atau botol, teknik menyusu yang tidak betul boleh membuat bayi ‘menelan’ angin dengan banyak, justeru mengakibatkan kembung perut.
Ia juga selalu digabungkan dengan posisi menyusu yang tidak betul atau tidak selesa.
3. Susu formula yang tidak bersesuaian. Sesetengah bayi mungkin mempunyai alahan terhadap beberapa jenis susu formula.
Alahan tersebut boleh berupa alahan terhadap punca susu atau laktosa, ataupun bahan tambahan yang digunakan dalam susu, lalu membuatkan bayi kembung perut.
4. Tidak menyendawakan bayi. Setelah menyusu, bayi selalunya perlu disendawakan dengan betul. Kalau bayi tidak disendawakan langsung, ia boleh menjadi punca kembung perut juga.
5. Diet dan pemakanan ibu menyusu. Jika Ibu menyusu badan, sesetengah makanan yang dimakan dan kemudian akan turun kepada bayi melalui susu badan boleh mengakitbatkan angin dan kembung perut pada bayi.
Sesetengah makanan atau minuman tersebut termasuklah sayur kubis dan air kopi.
Tips-Tips Untuk Mengelakkan Kembung Perut
Kalau Ibu mengesyaki bayi sedang mengalami kembung perut, anda boleh cuba tips-tips dibawah ini untuk mengelak keadaan tersebut atau melegakan simptom kembung perut.
1. Perbetulkan Teknik Penyusuan
Seperti yang disebutkan di atas tadi, teknik penyusuan yang salah boleh menjadi punca kembung perut.
Tidak kira sama ada Ibu menyusu badan atau botol, pastikan mulut bayi lekap dengan betul pada puting.
Posisi bayi juga perlu selesa dan betul supaya perut bayi tidak rasa tertekan dan posisi yang betul juga akan memastikan mulut bayi lekap pada puting dengan betul.
2. Sendawakan Bayi Selepas Menyusu
Selesai sahaja menyusu bayi, Ibu dicadangkan untuk menyendawakan bayi dengan betul.
Walaupun menyendawakan bayi sebenarnya tidak wajib, tetapi jika bayi anda mempunyai masalah kembung perut sebelum ini, lebih baik jika anda sendawakan bayi daripada membiarkan bayi sendawa sendiri.
3. Elakkan Makanan Bergas
Ibu yang menyusukan badan perlu menjaga pemakanan dan diet untuk mengelakkan bayi kembung perut.
Ini kerana apa sahaja yang Ibu makan tentu akan turun kepada bayi melalui susu badan.
Seperti yang disebutkan tadi, sesetengah makanan dan minuman seperti sayuran kubis bunga dan air kopi boleh mengakibatkan gas dan kembung perut.
4. Tukar Jenis Susu Formula
Jika Ibu memberi susu formula kepada bayi dan merasakan susu tersebut tidak sesuai, anda perlu memastikan bahawa bayi tidak ada alahan pada jenis susu tersebut atau tiada alahan laktosa.
Jika merasakan bayi tidak serasi dengan susu dari jenis susu lembu, anda boleh cuba tukar kepada susu lain seperti susu kambing.
5. Tukar Puting Botol
Jika masalahnya bukan masalah susu formula, Ibu mungkin perlu pertimbangkan untuk menukar puting botol susu.
Kadang-kala, sesetengah puting tidak bersesuaian dengan saiz mulut bayi. Terdapat banyak jenis puting di pasaran yang anda boleh cari yang bersesuaian dengan saiz dan umur bayi untuk mengelakkan bayi daripada menelan angin.
6. Urut Perut Bayi Berserta Senaman
Beberapa senaman kecil boleh dilakukan untuk bayi supaya mereka dapat mengeluarkan gas melalui sendawa atau kentut.
Selalunya selepas mandi, Ibu boleh meletakkan minyak untuk mengelakkan dan melegakan kembung perut dan mengurut perut bayi serta membuat senaman kaki dan perut bayi untuk mengeluarkan gas dalam perut.
7. Dodoikan Bayi
Ada kalanya, kembung perut boleh dilegakan dengan mendodoikan bayi anda.
Ini kerana dodoian boleh mengurangkan stres atau tekanan pada bayi, jadi badan bayi pun berasa tenang dan mudah untuk melancarkan peredaran dan pengeluaran angin dari badan.
Kajian menunjukkan bahawa kantung bayi yang merupakan jenis wrap atau sling dapat membantu dengan masalah kembung perut dan juga kolik.
Walaupun masalah kembung perut tidak memberikan ancaman yang besar kepada bayi, ia boleh meningkatkan stres pada kedua-dua bayi dan ibu bapa.
Jadi ia amat penting bagi Ibu untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh bayi.
Semoga artikel ini bermanfaat bagi Ibu yang mencari jalan penyelesaian untuk kembung perut.
Jika anda mengesyaki ia sesuatu yang lebih serius, seeloknya anda pergi berunding dengan doktor pakar pediatrik bayi.