Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kenalpasti 14 Punca Kitaran Haid Tidak Teratur

Masalah berkaitan dengan haid sering kali dialami oleh setiap wanita dan tidak mengira peringkat usia.

Period yang tidak teratur terjadi apabila tempoh kitaran melebihi 35 hari, atau jika jangka masanya berubah-ubah. Mesti akan ada rasa bimbang dan risau apabila kitaran haid tidak normal bagi wanita.

Terdapat kajian yang dilakukan menunjukkan sebanyak 14-25% wanita seluruh dunia mengalami haid yang tidak teratur.

Mari kenalpasti punca yang menjadi penyebab kepada haid yang tidak teratur.

14 Punca Haid Tidak Teratur

1. Kehamilan 

Kehamilan boleh menyebabkan tempoh haid terjejas atau bermasalah. Antara simptom awal kehamilan termasuk:

  • Rasa loya
  • Sensitif terhadap bau
  • Keletihan
  • Kesemutan pada payudara
  • Mabuk pagi (morning sickness)

Highlighted


2. Pencegah kehamilan hormon

Pil pencegah kehamilan dan alat intrauterin yang mengandungi hormon (IUD) boleh menyebabkan pendarahan haid tidak teratur.

Seterusnya, pil perancang berupaya menyebabkan spotting antara haid dan mengakibatkan pendarahan yang lebih ringan.

3. Penyusuan bayi

Prolaktin adalah hormon yang bertanggungjawab dalam penghasilan susu ibu. Oleh itu, prolaktin juga mengurangkan hormon reproduktif, lantas menghasilkan pendarahan haid yang sangat ringan atau tidak ketika menyusu.

Usah risau, haid pastinya akan kembali normal sejurus anda berhenti menyusu!

4. Perimenopause

Perimenopause adalah satu fasa peralihan sebelum wanita memasuki peringkat menopaus. Ia biasanya bermula pada usia 40-an, namun boleh berlaku lebih awal.

Turun naik tahap estrogen pada fasa ini juga boleh menyebabkan tempoh haid berubah-ubah, menjadi lebih lama atau pendek.

5. Sindrom ovari polisistik  (PCOS) 

Tempoh haid tidak teratur adalah tanda PCOS yang paling kerap dialami pesakit.

Sekiranya anda mempunyai PCOS, akan berisiko mengalami pendarahan haid yang teruk atau tidak teratur.

6. Masalah tiroid

Tahap hormon tiroid yang tinggi, yang dikesan dengan hipertiroidisme pula, boleh menyebabkan kitaran haid menjadi lebih pendek dan ringan.

Anda mungkin juga akan alami:

  • Penurunan berat badan yang mendadak
  • Kegelisahan
  • Jantung berdebar-debar

7. Fibroid rahim

Fibroid adalah tumor berotot yang terbentuk pada dinding rahim.

Sebilangan besar fibroid tidak bersifat kanser dan berukuran sekecil biji epal hingga sebesar limau gedang.

8. Endometriosis

Keadaan ini akan menyebabkan tisu yang melapisi rahim, tumbuh di luar rahim.

Endometriosis boleh menyebabkan rasa senggugut yang amat memeritkan dan mengganggu!

Ia juga boleh mengakibatkan pendarahan haid yang berat, lama dan pendarahan antara haid

9. Berat badan berlebihan

Obesiti juga diketahui berpotensi menyebabkan tempoh haid tidak teratur.

Kajian menunjukkan, berat badan berlebihan menjejaskan tahap hormon dan insulin, lantas mengganggu tempoh haid anda.

Tambahan itu, kenaikan berat badan yang mendadak juga boleh menyebabkan haid terganggu.

10. Kehilangan berat badan ekstrem & gangguan makan

Penurunan berat badan yang berlebihan atau terlalu ekstrem boleh menyebabkan haid terhenti!

Ini kerana, kekurangan kalori boleh mengganggu pengeluaran hormon yang diperlukan untuk proses ovulasi.

11. Senaman berlebihan

Senaman yang berintensiti berat telah terbukti mengganggu hormon yang bertanggungjawab untuk kitaran haid.

Atlet dan golongan wanita yang kerap terlibat dengan senaman intensif dan aktiviti fizikal, seperti penari balet, sering mengalami amenorea (haid terhenti).

12. Tekanan emosi 

Tekanan emosi yang melampau berupaya mengganggu kitaran haid dengan menjejaskan bahagian otak yang mengawal hormon kitaran menstruasi, buat sementara waktu.

Bagaimanapun, haid Mommy akan kembali normal setelah tekanan berkurangan apabila keadaan emosi dijaga dengan baik.!

13. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan tertentu boleh mengganggu kitaran haid, termasuklah:

  • Penipis darah
  • Ubat tiroid
  • Ubat epilepsi
  • Antidepresan
  • Ubat kemoterapi
  • Aspirin dan ibuprofen
  • Terapi penggantian hormon

14. Kanser serviks dan endometrium

Kanser serviks dan endometrium mampu memicu perubahan pada kitaran haid, bersama dengan pendarahan yang berat.

Selain pendarahan semasa atau selepas bersama, keputihan yang abnormal juga boleh menjadi punca kepada kitaran haid yang tidak teratur.

Semoga perkongsian ini dapat membantu Mommy untuk kenalpasti punca kepada tempoh kitaran haid yang tidak teratur.

Jika semakin berlarutan, disarankan Mommy untuk pergi berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang selanjutnya.


Dapatkan lebih banyak info yang bermanfaat untuk ibu di SINI.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.