Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Agar-agar Kurma Unik dan Menyelerakan! (+ Beberapa Kelebihannya)

Buah kurma adalah hidangan istimewa dan unik di bulan Ramadan. Ia dinikmati oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Kebiasaannya, buah kurma dimakan pada waktu sahur dan juga sewaktu berbuka puasa. Cukup dengan satu atau dua biji sahaja sudah memadai sebagai pembuka selera yang sangat menyedapkan.

Kali ini, Mommy boleh cuba resepi pencuci mulut Agar-agar Buah Kurma oleh Wan Sakinah (pemilik akaun Instagram @umikitchen88), yang boleh dihidangkan selepas menu berat semasa bersahur. Pasti lebih berselera dan menambahkan rasa kenyang lebih lama.

Print

Agar-agar Buah Kurma

Course Pencuci Mulut
Cuisine Melayu
Keyword Menu Sihat
Prep Time 20 minutes
Cook Time 1 hour

Ingredients

  • 8 biji Buah kurma Buangkan biji
  • 1 cawan Air panas
  • 1.5 cawan Susu full cream
  • 2 Sudu besar Susu pekat manis
  • 1 Sudu kecil Serbuk agar-agar

Instructions

  • Rendamkan buah kurma di dalam air panas dan biarkan ia semalaman.
  • Kisar halus di dalam pengisar.
  • Tuangkan ke dalam periuk. Masukkan susu full cream dan susu pekat, kacau perlahan selama beberapa minit.
  • Apabila naik wap, masukkan serbuk agar-agar, kacau sehingga mendidih.
  • Apabila mendidih, masukkan ia ke dalam bekas tahan panas dan sejukkan selama 1 jam.

Seperti semua sedia maklum, kurma mengandungi pelbagai khasiat yang memanfaatkan kesihatan tubuh badan dan sangat digalakkan untuk diambil semasa berbuka dan sebelum tamat waktu sahur.

Berikut merupakan khasiat buah kurma yang sangat bagus untuk kesihatan kita.

Kelebihan Buah Kurma Mak Ayah Wajib Tahu

Mengembalikan Tenaga Dalam Tubuh Badan

Setiap biji buah kurma diperkaya dengan jumlah kandungan karbohidrat yang baik serta mengandungi gula semula jadi yang diperlukan oleh tubuh badan. Walaupun rasanya manis, sukatan gula di dalam buah kurma adalah rendah menjadikan ia pengganti gula atau pemanis buatan.

Buah kurma juga boleh mengembalikan kecergasan, membolehkan mak ayah menyempurnakan solat Ramadan (tarawih) tanpa rasa penat dan lesu. Turut diperkaya dengan fruktosa yang mencukupi, memakan buah kurma pada waktu sahur boleh mengekalkan kecergasan dan mengekalkan tenaga mak ayah sepanjang hari sehinggalah waktu berbuka puasa.

Menyihatkan dan Berkhasiat

Terdapat pelbagai nutrien untuk setiap biji buah kurma termasuklah potassium, magnesium, copper, manganese, zat besti dan vitamin B6. Ia juga padat dengan antioksidan dan asid fenolik.

Kesemua nutrien ini membantu untuk mengekalkan kesihatan mata, jantung dan boleh mencegah penyakit tertentu seperti kanser dan diabetes. Apabila berpuasa, mak ayah cenderung untuk kehilangan banyak nutrien di mana ke semuanya dapat dikembalikan dengan pengambilan buah kurma.

Dapat Melegakan Sembelit

Beberapa kajian membuktikan bahawa buah kurma dapat melegakan sembelit. Walaupun bukan semua orang mengalami masalah sembelit pada bulan Ramadan, buah kurma dapat membantu untuk menangani masalah ini.

Selain daripada sembelit, buah kurma juga dapat menurunkan paras kolestrol serta mengekalkan paras gula dalam darah. Ini menjadikan ia satu bonus untuk mak ayah terutamanya pada waktu sahur dan sebelum memulakan puasa.

Mengekalkan Hidrasi Tubuh Badan

Satu lagi keunikan menarik buah kurma untuk mak ayah yang berpuasa. Buah ini juga dapat membantu dalam mengekalkan keseimbangan air dalam badan, menyokong hidrasi optimum dan membolehkan lebih banyak air tersimpan sepanjang hari.

Bayangkan, sebiji buah kurma sahaja bagaikan mak ayah sudah minum beberapa gelas air. Disebabkan inilah buah kurma menjadi pilihan orang ramai terutamanya umat Islam di bulan Ramadan agar dapat menahan rasa dahaga selama beberapa jam.

Menggalakkan Kecerdasan Minda

Apabila ia dimakan dengan kerap dalam jangka masa panjang, buah kurma boleh menggalakkan kecergasan minda termasuk otak manusia. Ia boleh mencegah penyakit Alzheimer, merangsang ingatan dan meningkatkan keupayaan pembelajaran.

Ini adalah berita menarik untuk ibu hamil termasuklah mak ayah yang mempunyai anak kecil. Nutrien tambahan tersebut boleh membantu perkembangan otak bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar untuk menyokong perkembangan mental mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai khasiat buah kurma terutama sepanjang bulan puasa ini, boleh baca artikel ini.