Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Kerabu Sotong Masam Manis Pedas Yang Amat Menyelerakan!

Sumber: Bukit Besi Blog

Setiap individu perlu mengambil pemakanan seimbang untuk tubuh badan yang sihat, dan salah satu makanan utama yang diperlukan ialah sayur-sayuran. Mujur terdapat pelbagai cara untuk menyediakan sayur-sayuran supaya anak-anak kecil pun suka makan!

Salad adalah cara yang mudah untuk menyediakan juadah sayur kerana kebanyakannya tak perlu dimasak. Di Asia Tenggara, kerabu menjadi pilihan ramai orang kerana rasanya yang masam dan manis. Ia juga boleh dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan lauk lain. Kali ini Motherhood ingin berkongsi resepi kerabu sotong ala Thai yang menyegarkan dan penuh berperisa.

Sedapnya Kerabu Sotong!

Juadah kerabu sotong ini merangkumi dua bahagian, iaitu bahan-bahan sayuran dan sosnya. Mommy boleh masukkan apa-apa sayur kegemaran, tapi secara asasnya, kerabu mempunyai sayuran menyegarkan seperti timun dan tomato, sedikit suhun dan juga buahan mangga, serta dihiasi atau dinaikkan rasa dengan daun ketumbar dan daun bawang. Selain sotong, Mommy boleh tambah juga udang kalau suka.

Sumber: YouTube Hanjuan

Jom tengok cara-cara untuk membuat juadah yang mudah, cepat untuk disediakan, dan sedap ini.

Cara-cara Menyediakan Resepi Kerabu Sotong

Bersihkan sotong dan potong mengikut citarasa. Celur dalam air rebus seketika dan toskan. Jangan rebus terlalu lama kerana boleh menjadikan sotong liat. Kalau menggunakan udang, boleh celur bersama sotong sekali.

Rebus suhun sehingga lembut dan toskan. Bersihkan dan potong bahan-bahan sayuran dan buah-buahan yang ingin digunakan. Resepi ini menggunakan bawang besar, timun, tomato cherry, lada benggala merah dan kuning, dan lobak merah.

Untuk naikkan lagi rasa, Mommy boleh juga letak bunga kantan dan buah mangga yang masam atau manis mengikut citarasa.

Sumber: rasa.my

Sediakan sosnya dengan mencampurkan sos ikan, kicap cair, jus limau nipis, gula melaka, bawang putih, dan cili padi dalam mangkuk kecil. Kacau hingga sebati.

Tuangkan sos kedalam bahan untuk kerabu iaitu sayuran tadi dan gaul rata. Hiaskan dengan taburan daun ketumbar, daun bawang, serai, dan hirisan cili merah.

Senang, cepat, dan berkhasiat! Jangan tunggu lama-lama untuk buat, suami dan anak-anak nanti tentu suka. Lihat juga resepi sotong phat phet Thailand.
Selamat mencuba!

Print

Resepi Kerabu Sotong ala Thai

Juadah kerabu sotong ini merangkumi dua bahagian, iaitu bahan-bahan sayuran dan sosnya. Mommy boleh masukkan apa-apa sayur kegemaran, tapi secara asasnya, kerabu mempunyai sayuran menyegarkan seperti timun dan tomato, sedikit suhun dan juga buahan mangga, serta dihiasi atau dinaikkan rasa dengan daun ketumbar dan daun bawang. Selain sotong, Mommy boleh tambah juga udang kalau suka. 
Prep Time 15 minutes
Cook Time 5 minutes

Ingredients

Bahan-bahan Untuk Kerabu

  • 4 ekor sotong (dibersihkan dan dipotong)
  • 1/2 biji bawang besar (dihiris nipis)
  • sedikit suhun
  • 1/2 batang timun (dihiris nipis)
  • 3 biji tomato cherry (dipotong dua)
  • 1/3 batang lobak merak (dihiris nipis)
  • 1/6 biji lada benggala merah dan kuning (dihiris nipis)
  • 1 batang serai (dihiris nipis)
  • 1 tangkai daun ketumbar (dicincang kasar)
  • 1 tangkai daun bawang (dihiris)

Bahan-bahan Untuk Sos

  • 5 biji cili padi (dihiris nipis)
  • 3 ulas bawang putih (ditumbuk kasar)
  • 3 sudu sos ikan Thai
  • 1 sudu kicap cair
  • 1 sudu gula Melaka
  • 2 biji limau nipis (diambil jus)

Instructions

Cara-cara

  • Celur sotong dalam air rebus seketika dan toskan.
  • Rebus suhun sehingga lembut dan toskan.
  • Sediakan sos dengan mencampurkan sos ikan, kicap cair, jus limau nipis, gula melaka, bawang putih, dan cili padi dalam mangkuk kecil. Kacau hingga sebati.
  • Tuangkan sos kedalam bahan untuk kerabu.
  • Hiaskan dengan taburan daun ketumbar, daun bawang, serai, dan hirisan cili merah.

Sumber: Resepi Che Nom / rasa.my