Sebelum ini Motherhood pernah berkongsi resepi ketupat sotong versi Kelantan, jadi kali ini kami ingin kongsikan resepi ketupat sotong Terengganu pula.
Bezanya adalah pada bahan-bahan yang direbus bersama ketupat sotong dalam air santan dimana versi Kelantan hanya menggunakan gula melaka dan daun pandan, manakala versi Terengganu menggunakan lebih banyak rempah.
Walaupun bahan-bahannya lebih banyak daripada resepi ketupat sotong versi Kelantan, secara umumnya cara untuk memasaknya adalah lebih kurang sama sahaja.
Untuk pengetahuan Mommy, juadah ketupat sotong ini amat popular di negeri Pantai Timur, sebab itu kebanyakan resepi mengkhususkan sama ada resepi itu adalah berdasarkan versi Terengganu atau Kelantan.
Kalau tak pernah makan, apa kata Mommy cuba resepi yang amat mudah ini. Bila dah pernah cuba, tentu selalu nak lagi!
Jom tengok cara-cara memasak juadah ketupat sotong ini.
Cara-cara Memasak Resepi Ketupat Sotong Terengganu
1. Sediakan bahan-bahan seperti sotong dan beras pulut. Rendamkan beras pulut dalam air selama lebih kurang 2 jam untuk lembutkannya.
2. Kemudian masukkan beras pulut ke dalam badan sotong yang telah dibuangkan kepalanya. Agak-agak dalam 1/3 sehingga separuh panjang sotong ya. Ambil kepala sotong tadi dan masukkan ke dalam badannya, tekan-tekan sedikit supaya padat isinya.
3. Cucukkan dengan lidi yang baru dan bersih untuk mengemaskannya dan mengelakkan dari beras pulut terkeluar.
4. Masukkan santan kotak berserta air ke dalam periuk diikuti batang serai yang telah diketuk, halia yang telah dihiris dan bawang besar yang telah dicincang.
5. Perasakan dengan sedikit garam dan gula secukup rasa. Kemudian, masukkan satu sudu besar halba.
6. Kacau sehingga mendidih, kemudian masukkan sotong yang telah disumbat dengan beras pulut tadi.
7. Masak sehingga beras pulut masak iaitu kira-kira dalam 15 hingga 20 minit.
Tips-tips Lain
1. Untuk mempercepatkan proses rendaman beras pulut dalam langkah pertama tadi, Mommy boleh rendam beras pulut tersebut dalam air panas yang dicampurkan garam.
2. Letak beras pulut ke dalam sotong dalam anggaran 1/3 sehingga separuh badan sotong untuk mengelakkan sotong pecah atau kandungan beras pulut terkeluar.
Nanti kalau teringin nak makan ketupat sotong Terengganu, tak perlu risau dah. Selamat mencuba!
Resepi Ketupat Sotong Versi Terengganu
Ingredients
Bahan-bahan
- 18 ekor sotong sederhana (dibersihkan dan dipotong kepala)
- 1 cawan beras pulut (dibersihkan dan direndam)
- 2 kotak santan
- 2 batang serai (diketuk)
- 2 inci halia (dihiris nipis)
- 1 biji bawang besar (dicincang atau dipotong dadu)
- 1 sudu halba
- garam
- gula
Instructions
Cara-cara
- Masukkan beras pulut kedalam sotong yang telah dipotong kepalanya dalam 1/3 hingga separuh panjang sotong.
- Masukkan pula kepala sotong tadi ke dalam badannya dan tekan sedikit supaya padat.
- Cucuk dengan lidi yang baru dan bersih untuk mengemaskannya.
- Panaskan periuk dan masukkan santan kotak berserta air.
- Masukkan pula batang serai, halia, dan bawang besar.
- Perasakan dengan sedikit garam dan gula mengikut citarasa.
- Masukkan halba dan gaul sehingga mendidih.
- Masukkan sotong yang telah disumbat dengan beras pulut dan masak sehingga beras pulut masak.
Sumber resepi: Hamizah Kitchen / Dari Dapur Madihaa