Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Ketupat Sotong Versi Kelantan Yang Menyelerakan

Sumber: Citarasawan

Mungkin tak ramai yang pernah dengar tentang ketupat sotong kerana ia secara umumnya lebih popular di negeri Pantai Timur. Sebab itu kebanyakan resepi ketupat sotong akan mengkhususkan sama ada ketupat sotong versi Kelantan atau Terengganu.

Bunyi dan rupa ketupat sotong mungkin remeh dan leceh, tetapi sebenarnya amat mudah untuk dibuat. Cuma mungkin memakan masa lebih lama dari masakan biasa seperti sotong bakar atau sambal sotong.

Konsep ketupat sotong sebenarnya hampir sama dengan ketupat sumbat, tetapi dinamakan ketupat disebabkan inti yang disumbat ialah beras pulut. Kreatif betul orang kita dalam bab-bab mencipta reka makanan kan?

Sumber: Citarasawan

Cara-cara membuatnya pun senang dan hanya memerlukan bahan-bahan yang biasa dibeli seperti gula melaka dan daun pandan. Cuma Mama perlu menambah sotong dan beras pulut dalam senarai membeli barang dapur nanti!

Jom tengok cara-cara untuk membuat sotong ketupat versi Kelantan ini.

Cara-cara Memasak Resepi Sotong Ketupat Versi Kelantan

Sediakan bahan-bahan dengan membersihkan sotong dan memotong ikut citarasa Mama dan membersihkan beras pulut. Kalau gula melaka yang dibeli adalah dalam ketulan besar, potong gula melaka kecil-kecil dahulu.

Rendam beras pulut seketika dalam santan berserta garam dalam 25 ke 30 minit. Kemudian masukkan beras pulut kedalam sotong yang telah dipotong kepalanya. Masukkan pula kepala sotong tadi ke dalam badannya dan tekan sedikit supaya padat.

Kemudian, cucuk dengan lidi yang baru dan bersih untuk mengemaskannya dan supaya beras pulut tidak terburai keluar.

Susun sotong-sotong yang telah diisi dengan beras pulut tadi kedalam periuk dan letakkan daun pandan sekali. Tuangkan santan dan perasakan dengan garam dan gula mengikut citarasa. Masak sehingga pulut masak sebelum memasukkan ketulan gula melaka.

Masak sehingga minyak agak pecah.

Sumber: Citarasawan

Tips-tips Lain

1. Untuk mencuba versi Terengganu, lebih banyak bahan dan rempah yang perlu dimasukkan apabila memasak sotong bersama santan tadi, iaitu serai, halia, bawang, dan halba, dan tidak menggunakan gula melaka dan daun pandan.

2. Untuk mempercepatkan proses rendaman beras pulut dalam langkah pertama tadi, Mama boleh rendam dalam air panas bersama garam.

3. Letak beras pulut ke dalam sotong dalam anggaran separuh badan sotong untuk mengelakkan sotong pecah.

Selamat mencuba!

Print

Resepi Ketupat Sotong

Kalau teringing makan ketupat sotong, sebenarnya amat mudah untuk dibuat sendiri dirumah. Resepi istimewa yang popular di pantai timur.
Course Menu Utama
Cuisine Asia
Keyword Keluarga
Cook Time 30 minutes
Servings 4

Ingredients

Bahan-bahan

  • 300 gram beras pulut (cuci dan rendam 30 minit)
  • 9-10 ekor sotong bersaiz besar (bersihkan dan potong kepala)
  • 1 kotak santan
  • 1 ketul gula melaka (dipotong kecil)
  • 3 helai daun pandan
  • garam
  • gula

Instructions

Cara-cara

  • Cuci dan rendamkan beras pulut di dalam santan atau air.
  • Masukkan beras pulut ke dalam sotong sehingga separuh badan sotong.
  • Masukkan kepala sotong ke dalam badan dan padatkan.
  • Cucuk sotong dengan lidi untuk mengemaskannya.
  • Susun sotong ke dalam periuk bersama daun pandan.
  • Tuangkan santan dan perasakan dengan garam dan gula jika perlu.
  • Masak sehingga pulut masak.
  • Masukkan gula melaka dan masak sehingga minyak pecah.

Sumber resepi: Azie Kitchen dan Dapur Tanpa Sempadan