Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Sambal Tumis Dengan Sotong Petai Yang Lazat

Sumber: resipisedap.com

Petai adalah satu bahan yang sering digunakan dalam pelbagai sajian tempatan, tetapi tak ramai yang menggemarinya kerana baunya yang mungkin agak kuat.

Walau bagaimanapun, sayur yang tumbuh meliar di dalam hutan-hutan di Malaysia ini mempunyai nilai khasiat yang tinggi berbanding dengan tumbuhan hutan lain. Sayur yang berjenis bijian atau kacang ini tinggi dengan kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2, dan vitamin C.

Dalam perubatan tradisional Melayu, biji petai dikatakan mampu merawat beberapa jenis penyakit kronik seperti penyakit kencing manis dan mencuci buah pinggang.

Walaupun lebih banyak kajian diperlukan untuk menyokong tuntutan ini, tak dinafikan biji petai amat popular untuk dijadikan hidangan-hidangan yang enak seperti resepi sotong petai yang Motherhood ingin kongsikan kali ini.

Resepi sotong petai ini, atau lebih khusus sambal tumis sotong dan petai, adalah lauk yang sangat sedap dimakan dengan nasi panas-panas.

Kalau sebelum ni Mama tak pernah cuba masak ataupun makan sambal tumis sotong dengan petai, apa kata Mama cuba resepi ini yang mungkin akan mengubah minda Mama tentang petai!

Sumber: iresipi.com

Nak buat pun senang kerana hanya memerlukan bahan-bahan ringkas yang tentu ada di dapur Mama seperti bawang besar, bawang merah, bawang putih, cili kisar atau cili boh, dan asam keping. Jangan lupa pula bahan utama sotong dan petai kalau perlu pergi ke pasar!

Jom tengok macam mana nak buat sambal tumis sotong petai.

Cara-cara Memasak Resepi Sambal Sotong Petai

Sediakan semua bahan-bahan dengan membersihkan dan memotong sotong serta menumbuk atau mengisar bawang besar, merah, dan putih.

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang yang telah ditumbuk atau dikisar bersama dengan cili boh. Kacau sehingga ia garing.

Masukkan petai dan sedikit gula mengikut citarasa dan kacau. Kemudian, masukkan sotong dan kacau lagi.

Langkah terakhir Mama dah boleh masukkan asam keping dan garam mengikut citarasa. Tak perlu tambah air kerana sotong akan mengeluarkan air yang banyak.

Senang saja kan? Hidang sambal sotong petai panas-panas dengan nasi putih memang terangkat! Selamat mencuba!

Print

Resepi Sotong Petai

Sambal tumis sotong dengan petai yang lazat
Prep Time 10 minutes
Cook Time 10 minutes

Ingredients

Bahan-bahan

  • 2 ekor sotong (saiz besar)
  • 1/2 biji bawang besar (ditumbuk/dikisar)
  • 5 biji bawang merah (ditumbuk/dikisar)
  • 3 ulas bawang putihg (ditumbuk/dikisar)
  • cili kisar/cili boh secukupnya
  • 1 mangkuk biji petai (buang kulit dan belah)
  • 1 asam keping
  • garam
  • gula

Instructions

Cara-cara

  • Bersihkan sotong dan tumbuk atau kisar bahan tumis.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang merah, dan bawang putih berserta cili boh sehingga garing.
  • Masukkan petai dan gula mengikut citarasa dan kacau.
  • Masukkan sotong dan kacau.
  • Masukkan asam keping dan garam mengikut citarasa.

Sumber resepi: Azie Kitchen