Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Sotong Butter Berlemak Manis Kegemaran Ramai

resepi sotong butter

Sumber: Youtube Limau Nipis

Juadah yang ringkas dan senang untuk dimasak menjadi kegemaran ramai, terutamanya jika Mommy tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat persiapan di dapur.

Kali ini Motherhood berkongsi resepi sotong butter yang enak dan amat mudah untuk dimasak, dan menjadi hidangan popular di kalangan orang dewasa dan juga kanak-kanak.

Kalau makan di luar sama ada waktu bekerja atau dengan keluarga, salah satu juadah yang senang nak dapat dan mengenyangkan untuk makan tengah hari selalunya hidangan masak butter.

Selalunya ayam menjadi pilihan popular kerana murah dan cepat, tapi kalau Mommy teringin untuk rasa juadah ini menggunakan sotong, cara untuk membuatnya adalah lebih kurang sama sahaja!

Jom tengok cara-cara untuk menyediakannya.

Sumber: cookpad.com

Cara-cara Memasak Resepi Sotong Butter

Setelah sotong dibersihkan dan dipotong mengikut citarasa Mommy, toskan dan keringkan dengan tisu dapur sehingga betul-betul kering. Gaulkan sotong dengan tepung gandum, serbuk kari, dan telur. Kemudian, goreng sotong sehingga garing menggunakan api sederhana.

Letak sotong yang telah digoreng tadi ketepi dahulu.

Sediakan bahan-bahan untuk sos butter iaitu mentega, cili padi, daun kari, susu cair, garam, gula, dan sedikit minyak untuk masak. Hiris cili padi kecil-kecil, tapi jika memasak untuk anak-anak kecil, tak perlu letak cili padi pun tak apa.

Untuk sos butter, panaskan minyak dan masukkan butter, iaitu mentega, mengikut citarasa Mommy. Kalau suka banyak kuah atau sosnya, boleh letak banyak butter. Gunakan api yang kecil dan panaskan mentega sehingga cair.

Kemudian masukkan cili padi dan daun kari dan tumis sehingga naik bau. Bila sudah wangi, masukkan susu cair mengikut citarasa juga. Lebih banyak susu cair diletak, lebih berlemak rasanya. Setelah sos menggelegak, masukkan sotong dan perasakan dengan garam dan gula.

Untuk membuat sos menjadi pekat, campurkan tepung gandum dengan sedikit air dan masukkan ke dalam sos. Kacau rata sehingga habis masak.

Sumber: dipersilakanshare.blogspot.com

Tips-tips Lain

  1. Resepi ini menggunakan mentega asli untuk membuat sotong butter, tetapi jika Mommy lebih suka menggunakan marjerin iaitu pengganti mentega menggunakan minyak sayuran dan lemak haiwan, boleh digunakan juga.
  2. Untuk mendapat aroma yang kuat, gunakan daun kari yang kecil berbanding dengan daun kari besar yang kadang-kadang tidak mengeluarkan aroma.
  3. Gunakan susu cair susu penuh untuk sos yang lebih berlemak. Mommy juga boleh menggantikan susu cair dengan buttermilk untuk rasa yang lebih masam berlemak.

Selamat mencuba!

Print

Resepi Sotong Butter

Prep Time 15 minutes
Cook Time 15 minutes

Ingredients

Bahan-Bahan Perap

  • 300 gram sotong (dipotong bulat)
  • 1 sudu tepung gandum
  • 2 sudu kecil serbuk kari
  • 1 sudu kecil garam
  • 1/2 sudu gula
  • 1 biji telur

Bahan-Bahan Sos

  • 2 sudu mentega
  • 3 tangkai cili padi (dihiris)
  • 1 pelepah daun kari
  • 230 ml susu cair
  • garam
  • minyak masak

Instructions

Cara-cara

  • Perap sotong dengan bahan-bahan perapan.
  • Panaskan minyak dan goreng sotong yang telah diperap. Ketepikan dahulu.
  • Panaskan minyak untuk menyediakan sos.
  • Masukkan mentega menggunakan api yang kecil dan biar cair.
  • Masukkan cili padi dan daun kari dan tumis sehingga naik bau.
  • Apabila sudah wangi, masukkan susu cair dan kacau sehingga menggelegak.
  • Masukkan sotong yang telah digoreng tadi dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula jika perlu.
  • Tuang sedikit tepung gandum yang telah dibancuh dengan air kosong untuk mendapat sos yang pekat.

Sumber resepi: Azie Kitchen