Kalau Mama atau keluarga Mama peminat tegar sotong dan sayur kangkung, kali ini Motherhood ingin berkongsi resepi sotong kangkung yang amat popular dari Pulau Pinang ini. Resepi ini menggunakan sotong rendam juga.
Juadah sotong kangkung ini dikatakan sering diburu oleh pelancong apabila berada di Pulau Pinang. Boleh dikatakan jarang jugalah bagi kebanyakan orang untuk memasaknya dirumah kerana menggunakan pelbagai bahan yang tidak kerap digunakan didapur.
Tetapi tak salah kalau Mama nak cuba buat sendiri! Lagi-lagi bila tak dapat melancong ke Pulau Pinang. Mama boleh cuba buat resepi ini kerana ia tidak terlalu sudah. Tambahan pula, kalau seluruh keluarga suka, tentu Mama akan selalu masak juadah ini.
Jom tengok cara-cara untuk menyediakan resepi sotong kangkung dengan kuah yang amat pekat dan sedap ini.
Cara-cara Memasak Resepi Sotong Kangkung
Bersihkan sotong menggunakan air biasa, air kapur, air cuka, atau air limau, ikut pilihan Mama. Potong sotong mengikut citarasa juga.
Celur sotong dalam air mendidih seketika. Pastikan Mama tak rebus sotong sehingga jadi liat! Sementara sotong sedang dicelur, bersihkan dan potong kangkung, terpulang pada Mama jika ingin menggunakan batangnya atau tidak.
Selepas sotong dicelur, kangkung pula perlu dicelur seketika juga. Kalau terlalu lama boleh jadi layu, jadi celur sekejap sahaja. Sementara kangkung dicelur, sangai bijan dalam kuali. Kemudian sangai pula kacang tanah yang telah ditumbuk.
Untuk membuat sosnya yang dipanggil sos merah, sediakan bahan-bahannya iaitu taucu manis atau masin mengikut citarasa, gula melaka, minyak bijan, cili boh, pes asam jawa, dan tepung jagung.
Kisarkan bahan-bahan tersebut bersama sedikit air, selain daripada tepung jagung, dan renehkan dalam periuk sehingga cili boh masak. Kemudian barulah masukkan tepung jagung yang sudah dibancuhkan dengan air untuk memekatkannya.
Untuk menjadikan sos merah ini lebih sedap untuk dimakan dengan sotong kangkung, masukkan pula petis, iaitu otak udang, dan sos plum. Gaul rata. Mama boleh masukkan cili padi kalau mahu sos pedas.
Kemudian, susun sayur di atas pinggan untuk dihidang, letakkan sotong di atasnya, kemudian tuangkan pula sos ke atas sotong dan kangkung itu. Akhir sekali, taburkan kacang tanah dan bijan yang telah disangai tadi.
Walaupun prosesnya nampak kompleks, tapi lama-kelamaan tentu mudah untuk dibuat. Selamat mencuba!
Resepi Sotong Kangkung
Ingredients
Bahan-bahan
- 1 ekor sotong kembang (dibersihkan dan dipotong)
- 1 cekak kangkung
- 3 sudu sos merah (bahan-bahan dibawah)
- 1 sudu petis (otak udang)
- 1 sudu sos plum
- 1 biji cili padi (dipotong)
- 3 sudu kacang tanah (ditumbuk dan disangai)
- 1 sudu bijan (disangai)
Bahan-bahan Sos Merah (dapat 1 cawan)
- 4 sudu taucu (manis atau masin)
- 8 sudu gula Melaka
- 2 sudu minyak bijan
- 1/2 sudu kecil cili boh
- 1/2 sudu kecil pes asam jawa
- 2 sudu kecil tepung jagung
Instructions
Cara-cara Membuat Sos Merah
- Kisarkan bahan-bahan sos merah (kecuali tepung jagung) bersama sedikit air.
- Renehkan bahan kisar dalam periuk sehingga cili boh masak.
- Masukkan tepung jagung yang sudah dibancuhkan dengan air untuk memekatkannya.
Cara-cara Membuat Sotong Kangkung
- Celur sotong dalam air mendidih seketika selepas dibersihkan dan dipotong.
- Sementara sotong sedang dicelur, bersihkan dan potong kangkung.
- Celur kangkung pula.
- Sediakan sos dengan memasukkan petis dan sos plum dan gaul rata. Masukkan cili padi jika mahu pedas.
- Susun kangkung dan sotong yang telah dicelur di atas pinggan untuk dihidang.
- Tuangkan sos keatas sotong dan kangkung.
- Taburkan kacang tanah dan bijan.
Sumber resepi: Sirap Limau / Kamarul Ariffin Nor Sadan