Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Sambal Tumis Sotong Kering Pasti Sedap Dimakan Dengan Nasi Lemak

Sumber: Amie's Little Kitchen

Sotong kering kerap dijadikan sambal tumis kerana memang sedap dan diminati ramai. Kalau Mommy tengok gerai di tepi jalan yang menjual nasi lemak, tak sah kalau tiada sambal tumis sotong kering, kan?

Walaupun dimasak menggunakan sotong kering, tapi sotong tersebut akan dilembutkan dahulu. Terdapat beberapa cara yang kerap digunakan untuk melembutkan sotong kering iaitu dengan proses rendaman berperingkat dalam cecair yang berbeza-beza.

Untuk resepi sotong kering ini, Motherhood akan kongsikan cara-cara untuk melembutkan sotong kering dengan mudah dan juga resepi sambal tumis sotong kering yang memang sedap untuk dimakan dengan nasi lemak.

Sumber: Aneka Resepi Enak

Jom tengok cara-cara untuk melembuatkan sotong kering dan resepi sambal tumis sotong kering yang enak ini.

Cara-cara Memasak Resepi Sotong Kering (Sambal Tumis Sotong Kering)

Untuk melembutkan sotong kering, Mommy perlu rendam sotong kering dalam campuran air paip dan air abu semalaman atau sekurang-kurangnya enam jam. Nisbah campuran air abu kepada air paip ialah 1:10, iaitu jika menggunakan 10 cawan air paip, gunakan 1 cawan air abu.

Sumber: Sinaran Wanita

Kemudian rendam pula sotong itu dalam air panas selama satu jam sebelum dipotong untuk dimasak. Selesai sahaja sotong direndam dalam air panas, Mommy bolehlah basuh seperti biasa dan potong mengikut citarasa, selalunya kecil-kecil untuk resepi sambal tumis sotong kering ini.

Untuk membuat sambal tumis, kisar bawang besar, bawang putih, dan halia hingga halus. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar tadi bersama cili kisar atau cili boh dengan api yang perlahan. Tumis sehingga betul-betul garing.

Bila sudah garing, Mommy boleh masukkan gula dan kacau sehingga gula larut sebelum memasukkan sotong kering yang telah direndam tadi. Gaul rata kemudian masukkan sedikit air mengikut kepekatan yang Mommy suka.

Masak dengan api kecil sehingga sotong masak dan masukkan garam dan asam keping.

Sumber: Resep Dapur Indonesia

Tips-tips Lain

1. Apabila melembutkan sotong dalam rendaman air abu dan air paip, pastikan Mommy mengikut nisbah yang betul dan jangan lebihkan air abu kerana boleh membuatkan sotong berasa pahit.

2. Ketika memasak sambal tumis, jangan masukkan garam awal-awal kerana ia boleh mengecutkan sotong dan menjadikannya liat.

3. Selepas Mommy perasakan dengan garam dan asam keping, biarkan sambal merenih seketika sebelum tutup api.

4. Untuk resepi sambal tumis menggunakan sotong segar, Mommy boleh lihat cuba resepi sambal sotong senang & lazat.

Selamat mencuba!

Print

Resepi Sambal Tumis Sotong Kering

Prep Time 12 hours 10 minutes
Cook Time 20 minutes

Ingredients

Bahan-bahan

  • 5 ekor sotong kering (direndam, dibersihkan, dan dipotong kecil)
  • 4 senduk cili kisar
  • 5 biji bawang besar (dikisar)
  • 1 labu bawang putih (dikisar)
  • 2 inci halia (dikisar)
  • 3 sudu gula
  • garam
  • asam keping

Instructions

Cara-cara

  • Kisar bawang besar, bawang putih, dan halia.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama cili kisar atau cili boh sehingga garing.
  • Masukkan gula dan kacau sehingga larut.
  • Masukkan sotong dan gaul rata sebelum memasukkan sedikit air.
  • Masak dengan api kecil sehingga sotong masak.
  • Perasakan dengan garam dan masukkan asam keping.
  • Biarkan sambal merenih seketika sebelum menutup api.

Sumber resepi: Azie Kitchen