Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Sotong Masak Asam Ringkas Tapi Lazat

Sumber: Rossy Manis

Masak asam adalah salah satu jenis masakan yang tradisional dan pelbagai jenis makanan laut sesuai untuk dimasak dengan cara ini. Sotong sudah tentu menjadi pilihan sesiapa yang suka dengan tekstur dan kemanisan sotong dalam masak asam. Bahan utama masak asam sudah tentu asam jawa.

Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Asam jawa sering digunakan dalam masakan harian kebanyakan orang. Kalau dulu asam jawa perlu direbus dan ditumbuk dahulu dari buahnya sebelum digunakan, kini ia senang untuk didapati di pasar dalam bentuk pes yang senang untuk disimpan.

Sumber: adabi.com

Kini kajian sudah pun membuktikan kehebatan asam jawan kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang bagus untuk tubuh badan seperti vitamin B, kalium, magnesium, zat besi, kalsium, fosfor, serat dan karbohidrat. Asam jawa dikatakan dapat melancarkan sistem pencernaan, bersifat anti radang, dan mengawal kandungan gula pesakit diabetes.

Kalau Mommy tak pernah masak apa-apa masakan dengan menggunakan asam jawa, jangan risau kerana resepi sotong masak asam yang Motherhood kongsikan kali ini amat mudah! Selain asam jawa, ia hanya menggunakan bahan-bahan lain yang sering sedia ada di dapur.

Jom tengok cara-cara memasak resepi sotong masak asam mudah ini.

Cara-cara Memasak Resepi Sotong Masak Asam

Sediakan bahan-bahan untuk tumis dan bersihkan sotong. Potong sotong mengikut citarasa Mommy, selalunya ia dipotong dua atau dipotong bulat-bulat kecil.

Untuk membuat air asam, campurkan sahaja pes asam jawa kedalam air dan kacau.

Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang merah, bawang putih, dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan sotong dan goreng sehingga hampir garing.

Kemudian masukkan sedikit air asam jawa, bawang besar, dan cili merah. Perasakan dengan garam dan gula. Tambah air atau air asam jika Mommy suka kuah yang banyak.

Kacau sebati hingga kuah mendidih.

Sumber: anekaresepienak.com

Tips-tips Lain

1. Jangan goreng sotong terlalu lama kerana boleh membuatkan sotong menjadi liat.

2. Anda boleh masukkan cili padi untuk rasa yang lebih pedas.

3. Daun limau purut boleh dimasukkan juga untuk menambah bau wangi.

4. Jika mahu warna kuning yang lebih pekat, boleh tambah sedikit kunyit.

Selamat mencuba!

Print

Resepi Sotong Masak Asam

Prep Time 15 minutes
Cook Time 15 minutes

Ingredients

Bahan-bahan

  • 8 ekor sotong (dibersihkan dan dipotong)
  • 1 inci halia (dihiris halus)
  • 3 biji bawang merah (dihiris halus)
  • 3 ulas bawang putih (dihiris halus)
  • 1 biji bawang besar (dihiris besar dan tebal)
  • 1 tangkai cili merah (dipotong serong)
  • 1 sudu pes asam jawa (dibuat air asam jawa)
  • minyak masak
  • garam

Instructions

Cara-cara

  • Bersihkan dan sediakan bahan tumis, sotong, dan air asam.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, dan halia sehingga naik bau.
  • Masukkan sotong dan goreng sehingga hampir garing.
  • Tuang sedikit air asam jawa dan masukkan bawang besar dan cili merah.
  • Perasakan dengan garam.
  • Tambah air jika perlu dan kacau sehingga kuah mendidih.

Sumber resepi: rasa.my