Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Sotong Masak Lemak Yang Sedap Dan Pasti Memuaskan Seisi Keluarga!

Sumber: momsresepi.netlify.app

Salah satu masakan kegemaran ramai tentu sekali gulai masak lemak. Hidangan ini boleh dimasak dengan daging, ayam, dan makanan laut seperti udang dan ketam. Gabungan kelemakan santan dan kemanisan makanan laut seperti sotong memang lazat! Kali ini kami ingin berkongsi resepi sotong masak lemak buat mak-mak yang berminat.

Kalau selama ni Mommy tak pernah cuba mana-mana resepi masak lemak cili api kerana takut tak menjadi, boleh cuba resepi ini. Walaupun bunyi ‘masak lemak cili api’ mungkin susah bagi yang baru berjinak-jinak untuk memasak didapur, sebenarnya masakan ini agak mudah dan cepat.

Lepas dah berjaya masak buat kali pertama, tentu selalu nak masak lagi sebab senang dan lazat! Seperti masakan lain, lebih kerap Mommy masak, lebih cepat persediaan didapur nanti. Kalau tak tahu nak makan apa sahaja, boleh buat masakan yang ringkas dan memuaskan ini.

Sumber: masakan.club

Untuk resepi sotong masak lemak, anda boleh menggunakan sotong cumit yang dikenali sebagai ‘squid‘ dalam Bahasa Inggeris. Sotong cumit tidak besar tetapi ia kerap dijumpai dengan telur didalam perutnya, membuatkan masakan masak lemak Mommy nanti lebih istimewa.

Selalunya bahan-bahan masakan makanan Melayu amat ringkas dan bahan-bahan yang sama kerap digunakan untuk pelbagai masakan. Untuk resepi ini, anda hanya memerlukan bawang merah dan putih, cili padi, dan kunyit hidup untuk bahan tumbukan.

Kalau tiada kunyit hidup, boleh gunakan serbuk kunyit.

Selain itu, resepi masak lemak juga menggunakan santan, serai, dan asam keping. Kalau nak, anda juga boleh tambah sayuran seperti kacang panjang.

Jom tengok macam mana nak buat sotong masak lemak dibawah.

Sumber: Amie’s Little Kitchen

Cara-Cara Memasak Resepi Sotong Masak Lemak

Mula-muka, bersihkan sotong dan potong mengikut citarasa. Kemudian tumbuk atau kisar bahan-bahan kisaran iaitu bawang putih, bawang merah, cili padi, dan kunyit hidup.

Dalam periuk, masukkan santan, serai, dan bahan kisaran dan kacau dengan api sederhana. Apabila kuah santan mula mendidih, masukkan asam keping dan kacang panjang.

Setelah kacang panjang mula berubah warna, masukkan pula sotong yang sudah dibersihkan dan kacau sehingga kuah mendidih sekali lagi. Tambahkan garam, gula, dan serbuk perasa mengikut citarasa.

Kacau sedikit lagi sebelum memadamkan api.

Tips-tips Lain

  1. Jika tiada kunyit hidup, anda boleh gunakan serbuk kunyit ataupun perencah masak lemak yang sedia ada di pasaran.
  2. Gunakan cili padi kampung berwarna hijau selain daripada kunyit hidup untuk mendapatkan warna kuah yang lebih kuning kehijauan.

Selamat mencuba!

Print

Resepi Sotong Masak Lemak

Sotong masak lemak cili api mudah dan lazat
Prep Time 20 minutes
Cook Time 20 minutes

Ingredients

Bahan Tumbuk

  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 25 biji cili kampung (hijau)
  • 1 inci kunyit hidup

Bahan Lain

  • 500 gram sotong cumit
  • 3 cawan santan
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 4 batang kacang panjang (dipotong)
  • 1 keping asam gelugor
  • garam / gula / perasa pilihan

Instructions

  • Bersihkan sotong dan potong mengikut citarasa.
  • Tumbuk atau kisar bahan-bahan kisaran di dalam blender.
  • Masukkan santan, serai, dan bahan tumbuk ke dalam periuk dengan api sederhana.
  • Setelah kuah santan mula mendidih, masukkan asam keping dan kacang panjang dan kacau.
  • Selepas kacang panjang telah berubah warna, masukkan sotong yang telah dibersihkan dan dipotong.
  • Kacau semula sehingga kuah mendidih sekali lagi.
  • Masukkan garam, gula, dan serbuk perasa pilihan.
  • Kacau sedikit lagi sebelum memadamkan api.

Sumber resepi: Amie’s Little Kitchen