Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Sotong Masak Sos Tiram Yang Penuh Berperisa

Sumber: myresepimenarik.blogspot.com

Sos tiram yang diperbuat daripada ekstrak tiram berserta gula dan garam kerap digunakan dalam kebanyakan masakan Melayu, masakan Cina, dan masakan Thai. Mommy tahu tak, sos tiram sebenarnya dicipta secara tidak sengaja apabila seorang penjual sup tiram lupa nak tutup api ketika sedang memasaknya!

Penjual sup tiram yang berasal dari negara Cina itu mula menjual sos pekat tiram hasil temuannya itu dan menamakannya berdasarkan namanya sendiri, iaitu Lee Kum Kee seperti yang Mommy sering nampak di pasar. Itulah asal-usul sos tiram yang semulajadi.

Sekarang sos tiram yang dihasilkan secara komersial menggunakan kaedah yang lebih mudah dan sering ditambah dengan perasa lain untuk menaikkan lagi rasa sos tiram sambil menurunkan kosnya. Banyak jenis hidangan sekarang sedap jika ditambah dengan sos tiram, sama ada sedikit atau sebahagian daripada bahan utama.

Kali ini, Motherhood ingin berkongsi resepi sotong masak sos tiram yang penuh berperisa dan boleh dijamu oleh seisi keluarga. Resepi ini amat mudah dan ringkas tetapi menghasilkan hidangan yang amat lazat. Mommy hanya memerlukan bahan-bahan asas yang tentu ada di dapur seperti bawang, cili, serai, halia, dan kunyit.

Jom tengok macam mana nak masak sotong sos tiram ini.

Cara-cara Memasak Resepi Sotong Masak Sos Tiram

Setelah sotong dibersihkan dan dibuang dakwatnya, Mommy boleh potong secara bulat atau mengikut citarasa sendiri. Celur atau rebus sedikit sotong dalam satu minit.

Sediakan bahan-bahan tumis lain seperti menghiris bawang dan cili. Kalau nak dikisar pun boleh juga, ikut citarasa sendiri.

Panaskan minyak dan tumis bawang putih, serai, dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan sotong dan serbuk kunyit dan kacau hingga sebati.

Selepas itu, masukkan pula asam gelugor, cili besar, dan cili padi. Kacau rata sebelum memasukkan sos tiram dan bawang besar. Kacau sehingga habis masak.

Sumber: Facebook Resepi Bonda

Tips-tips Lain

1. Jangan masak sotong terlalu lama kerana ia boleh menjadi terlalu liat.

2. Untuk sos tiram, pastikan Mommy menggunakan sos tiram asli dan bukan sos ‘perasa’ tiram yang bukan diperbuat daripada ekstrak tiram.

3. Untuk tidak pedas, gunakan lada yang tidak pedas dan tak perlu gunakan cili.

Selamat mencuba!

Print

Resepi Sotong Masak Sos Tiram

Prep Time 15 minutes
Cook Time 15 minutes

Ingredients

Bahan-bahan

  • 300 gram sotong (dipotong bulat)
  • 6 tangkai cili padi
  • 2 tangkai cili besar (dipotong serong)
  • 1 biji bawang besar (dipotong besar)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 2 sudu sos tiram
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 1 inci halia (diketuk)
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 2 keping asam gelugor
  • garam
  • minyak masak

Instructions

Cara-cara

  • Bersihkan sotong, potong, dan celur atau rebus seketika. Toskan.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih, serai, dan halia sehingga naik bau.
  • Masukkan sotong berserta kunyit dan kacau hingga sebati.
  • Masukkan asam gelugor, cili besar, dan cili padi dan gaulkan.
  • Masukkan sos tiram dan bawang besar dan masak sehingga bawang layu.

Sumber resepi: My Resepi Menarik