Bila dah bersalin ni, ada masa kita rindukan keadaan badan sama kembali seperti anak dara – lebih banyak tenaga dan bentuk tubuh badan yang lebih ramping. Lagi satu perkara yang sering menjadi kerisauan ibu selepas bersalin ialah bagaimana untuk mendapatkan kembali faraj yang ketat, serta tanpa melakukan pembedahan. Jawapannya, mestilah senaman kegel atau senaman kemut.
Highlighted
Tak ramai Mommy tahu mengenai apa itu senaman kegel dan kelebihannya. Senaman kegel telah diasaskan oleh Dr. Arnold Kegel sejak 1948, yang turut dikenali sebagai senaman kemut. Senaman kegel memberi fokus pada bahagian lantai pelvik kita. Jika diamalkan, senaman kegel dikatakan mampu mengetatkan kembali faraj ibu selepas bersalin. Ia merupakan antara senaman selepas bersalin yang terbaik untuk diamalkan ibu-ibu.
Eh, penting sangat ke senaman ni? Kenapa perlu buat senaman kegel?
Haa ketika hamil dan selepas bersalin serta peningkatan usia akan menyebabkan otot pelvik menjadi semakin lemah. Otot pelvik amat penting untuk menyokong pundi kencing bersama saluran kencing di bahagian hadapan rahim, bersama faraj di bahagian tengah dan saluran najis di bahagian belakang badan kita.
Oleh itu, senaman ini merupakan salah satu cara untuk menguatkan kembali otot pelvik kita.
Kelebihan Senaman Kegel
- Melancarkan pengaliran darah ke alat sulit yang dapat membantu mereka yang mengalami masalah sembelit.
- Menyempitkan pembukaan faraj yang renggang dan longgar.
- Membantu wanita, terutamanya ibu hamil mengatasi masalah mengawal kencing.
- Untuk ibu hamil, senaman ini dapat menguatkan otot vagina, seterusnya memudahkan proses bersalin dan mengurangkan risiko koyakan perinium semasa bersalin.
- Menghalang angin daripada masuk ke dalam vagina dan menyebabkan kentut vagina.
- Meningkatkan kualiti dan mengintimkan hubungan seks suami isteri.
5 Cara Senaman Kegel yang Betul & Selamat
Senaman ini sangat mudah dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa pengetahuan orang lain. Mommy boleh lakukan ketika berdiri, duduk, mahupun baring. Senyap-senyap je dan kejap je, dah selesai. Cuma, kena amalkan selalu lah untuk kesan yang optimum. Hanya ikuti langkah-langkah dibawah:
- Cari otot lantai pelvis anda. Otot lantai pelvis anda merupakan otot yang seakan mengemut dan menggenggam ketika anda nak tahan kencing.
- Kemutkan otot-otot tersebut dalam keadaan paha dan kaki dirapatkan perlahan-lahan selama 5 saat, dan kemudian lepaskannya selama 5 saat.
- Kawal pernafasan dengan menahan nafas selama 5 saat semasa melakukan kemutan, dan lepaskan nafas serentak ketika melepaskan kemutan.
- Ulang sebanyak empat hingga lima kali sehari secara berturut-turut.
- Tingkatkan kekerapan senaman dari semasa ke semasa supaya anda boleh menguatkan kembali otot-otot.
!AWAS!
Hentikan Senaman Kegel Sekiranya:
#1 Jangan teruskan jika Mommy mula rasa sakit belakang dan pinggang kerana ia bermaksud kemutan anda salah.
#2 Jangan sesekali buat senaman ini ketika hendak kencing dan sedang kencing. Ia boleh menyebabkan otot pelvik menjadi semakin lemah dan mudah untuk terkena jangkitan kuman.
Waktu Terbaik untuk Amalkan Senaman Kegel
- Untuk ibu hamil – Mommy boleh mula amalkan seawal trimester pertama lagi untuk memudahkan proses bersalin.
- Selepas bersalin – Untuk Mommy dah sudah bersalin, jadikan senaman ini sebagai rutin harian, selepas dua minggu melahirkan bayi. Hal ini supaya luka episotomi cepat sembuh dan aliran darah semakin lancar.
Waktu yang paling baik untuk melakukan senaman ini adalah sebaik sahaja bangun tidur dan juga sebelum masuk tidur.
Senaman Kegel untuk Mereka Yang Lain
Selain itu, senaman ini juga sesuai untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mengalami masalah seperti berikut:
- Anda yang sering mengalami masalah sembelit.
- Kekerapan mengalami masalah kebocoran kencing apabila melakukan senaman, ketika ketawa, batuk atau bersin.
- Kegagalan mencapai klimaks ketika melakukan hubungan intim.
- Kelemahan mengawal lantai pelvik atas faktor peningkatan usia.
- Anda pernah menjalani pembedahan pada mana-mana organ yang terbabit di lantai pinggul – pundi kencing, rahim, usus atau rektum yang membuatkan anda sukar mengawal organ ini dengan betul.
- Mereka yang mengalami berat badan berlebihan juga boleh mengamalkan senaman ini untuk meningkatkan kekuatan di lantai pinggul anda.
Mommy jangan mudah terpengaruh dengan ubat-ubatan mahupun pil-pil supplement yang dijual di pasaran. ‘Ubat mengetatkan vagina’ yang dijual tidak menjamin kesan seperti yang didakwa. Malah, ianya berisiko membahayakan kesihatan anda.
Lambakan produk tradisional yang menggunakan herba dan bahan-bahan semulajadi juga tidak dijamin kesahihan kesannya. Malah, pengambilan ubat tradisional juga mendatangkan risiko jangkitan jika mereka menggunakan produk yang ditinggalkan dalam vagina. Oleh itu, Mommy dinasihatkan untuk mengelakkan daripada mengambil supplement tambahan atau ubat-ubatan untuk ‘merawat’ faraj anda. Lebih baik amalkan senaman kegel yang lebih selamat dan mudah ini bukan?