Tahun Pertama Bayi: Perkembangan Bayi Baru Lahir Yang Mommy Harus Tahu

Adakah anda sedang menantikan kelahiran si manja dengan penuh gembira, namun dalam masa yang sama berasa cemas?

Kami amat memahami perasaan anda. Menjadi seorang ibu buat kali pertama boleh mendatangkan tekanan yang besar kerana kita sentiasa risau sama ada bayi kita membesar dan berkembang seiring dengan bayi lain yang seusia.

Daripada terus berasa bimbang, berikut ialah perkara yang boleh Mommy jangkakan dalam beberapa minggu pertama kelahiran bayi anda.

Perkembangan Bayi Baru Lahir: Minggu demi Minggu

Minggu 1

Pencapaian Utama

  • Kehilangan kira-kira 5% hingga 10% daripada berat badan semasa lahir dalam minggu pertama.

  • Berat antara 2.5 kilogram hingga 4.3 kilogram dan panjang antara 8.1 cm hingga 10 cm.

Mampu mengangkat kepala seketika semasa meniarap.

Highlighted


Bayi 1 Minggu: Penyusuan

Mommy boleh menyusukan bayi berusia seminggu sama ada dengan susu ibu atau susu formula setiap dua hingga tiga jam.

Jika tertanya-tanya berapa banyak bayi 1 minggu perlu minum, Mommy boleh berikan kira-kira 2 hingga 3 auns susu formula setiap 3 hingga 4 jam.

Untuk bayi yang disusukan badan, tempoh penyusuan biasanya sekitar 20 hingga 40 minit. Namun, bayi akan berhenti sendiri apabila kenyang. Jika anda mengepam susu lebih awal, berikan kira-kira 2 hingga 3 auns setiap sesi penyusuan.

Bayi 1 Minggu: Tidur

Bayi Mommy juga sebenarnya berasa letih selepas proses kelahiran! Jadi, adalah biasa untuk mereka tidur hampir sepanjang hari, iaitu sekitar 16 hingga 20 jam.

Biasanya bayi seminggu akan tidur 2 hingga 4 jam setiap kali, dan bangun bila-bila masa, siang atau malam kerana mereka belum tahu beza waktu siang dan malam.

Cuba bantu bayi bermain pada waktu siang dan bertenang pada waktu malam supaya mereka lebih mudah menyesuaikan diri.

Minggu 2

Pencapaian Utama

  • Mula melihat sekeliling menggunakan mata kecilnya yang comel.

  • Menghisap ibu jari untuk menenangkan diri.

  • Tali pusat akan tanggal, menandakan bayi sedia untuk mandi pertama.

Selain itu, jangan terkejut jika Mommy nampak benjolan tali pusat bayi bertukar kehitaman. Ini adalah proses semula jadi di mana benjolan itu akan kering dan gugur sendiri.

Bayi 2 Minggu: Penyusuan

Teruskan rutin penyusuan seperti minggu pertama. Anda juga boleh menyusukan bayi apabila dia menangis, kerana dia tahu bila dia lapar.

Sebagai rujukan, bayi perlu disusukan kira-kira 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam.

Bayi 2 Minggu: Tidur

Bayi berusia dua minggu masih akan tidur sekitar 16 jam sehari.

Mereka mungkin masih bangun beberapa kali pada waktu malam, jadi jangan segan untuk minta bantuan ahli keluarga agar anda boleh berehat ketika bayi berjaga.

Memandikan Bayi Baru Lahir

Sebelum tali pusat tanggal sepenuhnya, Mommy dan Daddy harus mandikan si manja yang baru lahir dengan menggunakan span sahaja sehingga:

  • Luka khatan sembuh sepenuhnya (biasanya 1–2 minggu)

  • Tali pusat tanggal dan pusat sembuh sepenuhnya (1–4 minggu)

Berapa kali perlu mandikan bayi baru lahir?

2 hingga 3 kali seminggu sudah mencukupi. Mandi terlalu kerap boleh menyebabkan kulit bayi menjadi kering.

Peringatan penting: Jangan sekali-kali tinggalkan bayi sendirian semasa mandi! Jika perlu keluar dari bilik mandi, balut bayi dengan tuala dan bawa bersama.

Minggu 3


Pencapaian Utama

  • Mula menyampaikan keperluan melalui pelbagai jenis tangisan.

  • Mampu mengangkat kepala sehingga 45 darjah.

Bayi 3 Minggu: Penyusuan

Pada minggu ketiga, bayi akan menunjukkan tanda lapar melalui tangisan, gerakan bibir, atau memalingkan kepala mencari puting.

Untuk bayi susu formula, anda boleh tingkatkan kepada 3 hingga 4 auns setiap 3 – 4 jam. Pastikan bayi disusukan sekurang-kurangnya sekali setiap 5 jam, walaupun perlu kejutkan dia.

Bagi bayi susu ibu, teruskan rutin penyusuan 8 hingga 12 kali sehari.

Bayi 3 Minggu: Tidur dan Jadual Harian

Sama seperti minggu sebelumnya, bayi akan tidur sekitar 16 jam sehari.

Sesetengah bayi mungkin bangun lebih awal. Jaid, Mommy harus terus berusaha menjadikan siang waktu bermain dan malam waktu tenang agar mereka belajar corak tidur yang lebih baik.

Mommy juga boleh berikan lebih masa “tummy time” (masa meniarap) untuk membantu kekuatan otot leher dan bahu.

Mengendali Bayi Baru Lahir

Sebagai ibu bapa baru, kita ingin memeluk dan mencurahkan kasih sayang, tetapi pada masa sama rasa takut kerana bayi masih ‘fragile’.

Jangan risau. Sentiasa pegang bayi dengan lembut dan jangan goncang atau gelekkan bayi di atas lutut. Pelan-pelan dan praktis setiap hari, Mommy pasti yakin dalam mengendali si manja.

Minggu 4

Pencapaian Utama

  • Mengalami pertumbuhan mendadak (growth spurt).

  • Mampu melihat mainan lembut atau wajah orang di hadapannya kerana penglihatan semakin jelas.

Bayi 4 Minggu: Penyusuan

Untuk bayi yang diberi susu formula, tingkatkan sukatan kepada 4 auns setiap 4 jam. Jika menyusu badan, teruskan penyusuan setiap 2 hingga 3 jam hingga bayi kenyang.

Secara purata, bayi berusia sebulan akan minum sekitar 25 auns susu ibu sehari.

Bayi 4 Minggu: Tidur dan Jadual Harian

Bayi Mommy akan terus tidur sekitar 15 hingga 16 jam sehari, termasuk tiga kali tidur siang. Pada waktu malam, mereka boleh tidur selama kira-kira 8½ jam, tetapi masih mungkin terjaga pada tengah malam.

Bermain dengan Bayi Baru Lahir

Walaupun bayi masih kecil dan lembut, itu tidak bermaksud kita tidak boleh bermain dengannya! Berikut 6 idea aktiviti ringan untuk Mommy cuba seperti bersembang, menyanyi, atau menunjukkan objek berwarna lembut.

Pada dasarnya, bermain dengan bayi, terutamanya dalam tahun pertama perkembangannya adalah tentang interaksi dan sentuhan kasih sayang. Nikmatilah masa ini kerana bermain hanya benar-benar bermakna bila anda seronok bersamanya!

Bayi Anda Perlukan Keyakinan Anda

Walaupun penat menjaga bayi baru lahir, hargai setiap pelukan, penyusuan dan sentuhan kulit ke kulit. Perhatikan dan raikan setiap kemajuan kecil kerana semuanya adalah tanda tumbesaran bayi anda.

Proses menjaga dan membina hubungan ini memang mengambil masa, tapi percayalah bahawa anda mampu memberikan kasih sayang dan penjagaan terbaik untuk bayi anda.

Anda adalah yang terbaik untuk bayi anda!


Penafian : Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan profesional penjagaan kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.


Mommy boleh dapatkan pelbagai lagi tips dan panduan yang lain di SINI!

0 replies on “Tahun Pertama Bayi: Perkembangan Bayi Baru Lahir Yang Mommy Harus Tahu”