Apabila sudah sarat mengandung, mesti anda terfikir bila agaknya anda akan bersalin. Tambahan pula, jika ini merupakan kelahiran pertama buat anda.
Ia perkara yang sangat normal untuk setiap bakal ibu menginginkan proses kelahiran bayi yang lancar dan selamat!
Tempoh penuh kehamilan adalah 40 minggu dan untuk memastikan titik permulaannya sesuatu kelahiran adalah berlainan.
Oleh itu, para ibu yang sedang hamil perlu peka untuk mengetahui tanda-tanda berikut supaya lebih bersedia untuk menghadapi saat kelahiran.
10 Tanda-Tanda Bersalin
1. Cirit-Birit
Sama seperti otot-otot di rahim anda yang berada dalam keadaan ‘relax’ semasa persiapan kelahiran, begitu juga otot-otot lain di dalam badan anda (termasuk otot-otot di bahagian rektum) dan ini boleh menyebabkan cirit-birit ketika hendak bersalin.
Walaupun menjengkelkan, cirit-birit adalah perkara yang kerap dan sangat normal buat ibu hamil. Pastikan anda kekal hidrat dan ingat: ia merupakan satu petanda yang baik!
2. Sakit Belakang
Ini sering berlaku kepada kehamilan yang kedua dan seterusnya.
Jika ini bukan kehamilan pertama anda, anda mungkin akan berasa sesak dan sakit di bahagian punggung bawah dan pangkal paha yang menunjukkan tanada-tanda bersalin.
Otot dan sendi anda akan meregang dan bergeser sebagai persediaan untuk proses bersalin.
3. Air Ketuban Pecah
Kebanyakan wanita akan merasakan kontraksi sebelum air ketuban pecah.
Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada lelehan air jernih (amniotic fluid) dengan jumlah yang banyak mengalir keluar melalui faraj.
Kebiasaannya, ia adalah tanda-tanda bersalin yang semakin hampir dan anda harus ke hospital dengan segera.
4. Kontraksi
Selama beberapa bulan yang terakhir kehamilan, anda mungkin kerap mengalami kontraksi dan kadang-kadang ia sangat menyakitkan.
Ini sebenarnya dipanggil kontraksi Braxton Hicks (kontraksi palsu).
Apabila wanita hamil mengalami kontraksi yang kerap, ini menunjukkan bayi anda sedang bersedia untuk proses kelahiran.
Kontraksi tersebut akan menjadi lebih kerap dan diselangi kurang daripada 10 minit.
Kontraksi membantu dilatasi serviks dan menyumbang kepada penipisan bibir serviks bagi membuka ruang untuk melahirkan bayi.
5. Kekerapan Membuang Air Kecil dan Perut Yang Memulas
Apabila bayi sudah mula menekan di kawasan rangka tulang pelvis, anda akan merasakan perut menjadi ringan dalam sekitar dua minggu sebelum kelahiran.
Ibu yang hamil akan mengalami kekerapan membuang air kecil dan perut yang memulas kerana tekanan daripada bayi itu sendiri.
Serviks akan terbuka apabila kontraksi terjadi di mana pangkal rahim akan menjadi lebih lembut dan nipis.
Hanya doktor sahaja mengetahui perubahan serviks sewaktu pemeriksaan dilakukan.
6. Keputihan
Sewaktu kehamilan, penghasilan lendir yang tebal akan memenuhi permukaan serviks untuk mengelak daripada bakteria memasuki rahim.
Semasa trimester ketiga akhir, lendir ini mungkin akan ditolak masuk ke dalam faraj anda.
Anda mungkin dapat melihat peningkatan keputihan yang jelas, berwarna merah jambu atau sedikit berdarah.
Ini mungkin berlaku beberapa hari sebelum kelahiran bermula ataupun pada permulaan kelahiran bayi.
7. Letih dan Lesu
Ibu hamil juga akan merasa mudah letih. Antara punca kepada keletihan yang berlebihan adalah disebabkan kesukaran bernafas seperti sesak nafas yang kerap dialami sewaktu berjalan atau melakukan sebarang pergerakan.
8. Pendarahan
‘Pertunjukan darahan’ (bloody show) merujuk kepada keputihan yang berlaku pada akhir kehamilan anda.
Ini adalah tanda bahawa (mucus plug) lendir anda telah longgar atau telahpun dilepaskan.
Sesetengah wanita mengalami cecair mukus seperti lendir atau gam lekang yang keluar melalui laluan pintu rahim apabila serviks mula menipis.
Tanda ini menunjukkan bahawa bayi sudah bersedia untuk bergerak ke saluran peranakan dan sama ada anda sudah bersedia untuk melahirkan atau mungkin dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
Namun, sekiranya berlaku pendarahan yang berlebihan atau luar biasa semasa kehamilan, anda harus segera ke hospital untuk pemeriksaan.
9. Rangsangan Tenaga Berlebihan (Nesting)
Anda mungkin bangun dari tidur pada suatu pagi dengan perasaan yang sangat bertenaga dan bersemangat untuk mengisi peti sejuk dengan barang dapur yang telah dibeli, memasang buaian bayi dan mungkin juga mengatur pakaian bayi anda mengikut warna.
Dorongan yang biasanya dikenali sebagai naluri ‘nesting’ juga merupakan antara tanda-tanda bersalin yang sering dialami bakal ibu.
10. Pengurangan Pergerakan Bayi
Selain daripada tanda-tanda bersalin di atas, anda juga perlu segera ke hospital apabila merasakan bayi dalam perut kurang bergerak atau apa sahaja masalah yang dialami untuk mendapatkan kepastian doktor.
Tempoh hamil 40 minggu adalah dikira bermula hari pertama haid terakhir sehinggalah tarikh jangkaan bersalin.
Apa Yang Ibu Hamil Harus Lakukan?
1. Tenangkan Diri
Perkara pertama yang harus dilakukan adalah menenangkan diri anda. Beritahu suami anda semua perkara yang sedang dialami jika sudah berasa ingin bersalin.
Elakkan menjadi kelam-kabut dan pastikan bergerak anda bergerak dengan berhati-hati walau ke mana sahaja untuk mengelakkan daripada terjatuh atau berlaku kemalangan yang tidak diingini.
‘Take note’ setiap masa antara kontrkasi dan berapa lama masa yang diambil untuk kontraksi itu bertahan.
Sekiranya anda mempunyai telefon pintar, anda boleh menggunakan fungsi ‘timer’ untuk memudahkan kerja anda.
Anda juga harus ‘alert’ pengasuh atau ahli keluarga dewasa yang lain sekiranya anda berada anak yang di rumah supaya mereka dapat membantu menjaga anak anda semasa anda berada di hospital.
2. Persiapan Awal Sebelum Saat Bersalin Tiba
Beberapa minggu sebelum ‘due date’, anda perlu menyediakan beg hospital khas buat anda. Barang persiapan yang boleh disediakan adalah:
- Selipar, stokin, pakaian menyusu
- Satu set pakaian tambahan yang selesa
- Selimut untuk bayi
- Peralatan mandian peribadi
- Salinan rencana kelahiran anda dan petua bernafas dari kelas persediaan bersalin jika anda ada.
Anda juga boleh mempertimbangkan untuk membawa keselesaan dari rumah, seperti bantal peluk dan minyak pati.
Jangan lupa untuk memasang ‘baby car seat’ anda lebih awal, kerana mungkin anda tidak akan dapat meninggalkan hospital tanpa ia dipasang di dalam kereta anda.
Dan tentu sahaja, pastikan ruang asuhan telah disediakan di rumah dengan buaian, meja ganti lampin dan keperluan lain untuk bayi anda.
Ketahui Bila Masanya Untuk Pergi Ke Hospital
‘Latent’ adalah fasa kelahiran yang tidak dapat diramalkan. Bagi sesetengah orang, ia adalah selang waktu yang pendek, dan bagi yang lain, ia boleh menjadi sangat panjang dan lama.
Sekiranya boleh, adalah lebih baik untuk anda melakukan fasa awal bersalin di rumah, iaitu tempat yang anda paling selesa.
Semasa di rumah, cubalah tips ini untuk menyelesakan diri sebelum bersalin:
- Rehat dan tidur di atas katil sehingga berasa tidak selesa lagi.
- Berjalan atau mandi air panas. Sekiranya anda yakin air ketuban anda telah pecah, anda akan masih mengalami kebocoran sewaktu berdiri. Hubungi doktor anda jika anda mengesyaki air ketuban telah pecah.
- Gunakan pad pemanasan yang suam di bahagian bawah perut atau belakang.
- Kekal hidrat. Anda harus minum air yang mencukupi untuk tenaga ketika ‘push’ nanti.
- Makan makanan yang mudah dicerna, seperti sup, buah atau yogurt.
Sekarang anda sudah tahu akan beberapa tanda-tanda bersalin. Jangan risau dan terlalu takut.
Untuk pasangan Muslim, anda juga boleh mengamalkan surah-surah dan doa mudah bersalin semasa proses kelahiran.
Sentiasa jumpa doktor untuk kepastian dan dapatkan nasihat yang boleh membantu anda sepanjang proses hamil dan juga proses kelahiran si manja anda.